SAUDARA PENGARANG,
ISU kesalahan membabitkan dadah masih belum reda walaupun masalah ini mula diperkatakan pada 1970-an, sebaliknya semakin meningkat sama ada dari segi jumlah penagih atau bilangan pengedar berskala kecil dan besar.
Dalam kerajaan menyiarkan berita mengenai Covid-19, mengapa tidak pada masa sama turut memainkan isu berkaitan dadah agar menjadi pengajaran kepada rakyat?
Kerajaan dan media boleh mengumumkan kes-kes mengenai dadah seperti perkembangan terkini jumlah penagih, penagih pulih, jumlah tangkapan, kematian, serbuan dan sebagainya pada setiap minggu atau bulan.
Semua maklumat ini perlu diketahui oleh semua lapisan masyarakat dan warga asing supaya mereka mengetahui kesan akibat penagihan dan pengedaran dadah.
Hukuman yang dilaksanakan pada masa ini memang berat, namun kurang publisiti menyebabkan mereka yang terlibat seolah-olah terlupa dan tidak takut dengan perbuatan mereka. Elok sekiranya maklumat hukuman dipaparkan di semua pintu masuk sempadan negara, hab pengangkutan, plaza tol lebuh raya, hospital dan lain-lain tempat awam.
TEROPONG DO RE MI, Setapak, Kuala Lumpur.