Moratorium universiti tidak perlu - Utusan Malaysia

Moratorium universiti tidak perlu

SEJARAH telah membuktikan bangsa yang tinggi budaya ilmu mampu meningkatkan tamadunnya ke tahap lebih tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

CAKAP-CAKAP tentang keperluan diadakan moratorium atau pembekuan sementara terhadap sebarang kelulusan untuk menubuhkan institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini bukan baharu. Cadangan itu telah lama diperkatakan dengan alasan demi menjaga kualiti pendidikan.

Sebenarnya, cadangan itu bersifat pramatang dan tidak mengambil kira banyak aspek keperluan pendidikan rakyat dan kemajuan negara pada masa akan datang.
Kadang-kadang orang kita memang suka melatah apabila disergah. Melatah melihat apa dibuat di negara sebelah tanpa mengambil kira beza dan sama antara kita dengan mereka.

Daripada berterusan melatah, maka marilah membuka minda melihat apa beza, jika banyak atau sikitnya universiti, kolej universiti, kolej awam atau swasta.

Kita seharusnya melihat kepada isu yang lebih besar iaitu keperluan rakyat dan masyarakat kepada ilmu yang terdapat di gedung ilmu yang mampu mengangkat tamadun dan peradaban sesuatu bangsa.

Institusi-institusi keilmuan ini juga adalah pembekal tenaga kerja negara pada masa akan datang.

Bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela pernah menyatakan, pelajaran adalah satu senjata berkesan untuk mengubah dunia.

Masyarakat yang berilmu dan beradab akan melahirkan pelbagai budaya sihat seperti membaca, menambah ilmu, selain mempraktikkan ilmu dalam pekerjaan seharian sama ada secara langsung atau tidak.

Sejarah telah membuktikan bahawa bangsa yang tinggi budaya ilmu mampu meningkatkan tamadunnya ke tahap lebih tinggi dari sebelumnya.

Pendidikan juga mampu menanamkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat sama ada yang berteraskan kesetiaan kepada negara, agama dan bangsa.

Oleh itu, setiap aspek pendidikan negara termasuk penubuhan IPT haruslah dititikberatkan, bukannya dipolemikkan, dipandang sinis malah dikurangkan belanjawan.

DR. NOOR DZUHAIDAH OSMAN & DR. AHMAD SYUKRAN BAHARUDDIN
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya