SAUDARA PENGARANG,
PETROLIAM Nasional Berhad (Petronas) perlu menarik balik semua pelaburan dan menghentikan segala operasinya di Myanmar.
Syarikat milik penuh kerajaan tersebut perlu berbuat demikian supaya wang yang dibayar kepada kerajaan Myanmar hasil pengeluaran gas dari Laut Andaman tidak digunakan untuk membiayai rejim tentera yang zalim.
Petronas baru-baru ini mengumumkan operasi pengeluaran di medan gas Yetagun dihentikan untuk sementara waktu berikutan force majeure (keadaan memaksa) pada 1 April lalu.
Ini kerana anak syarikatnya, PC Myanmar (Hong Kong) Limited (PCML) yang menguruskan medan itu mendapati pengeluaran gas di lapangan berkenaan telah menurun di bawah ambang teknikal untuk diproses oleh loji.
Namun, Petronas menyatakan ia kekal komited kepada projeknya di Yetagun dan sedang mengambil langkah-langkah perlu untuk memulihkan pengeluaran secepat mungkin.
Ini jelas menunjukkan Petronas cuba berurusan seperti biasa dengan tidak mempedulikan langsung krisis teruk yang sedang melanda Myanmar pada ketika ini dengan ratusan orang dibunuh oleh pemerintah tentera sejak rampasan kuasa pada 1 Februari lalu.
Menurut perangkaan yang dikeluarkan oleh sebuah organisasi hak asasi manusia antarabangsa, Persatuan Bantuan Tahanan Politik (AAPP), setakat 9 April lalu, seramai 618 orang dibunuh oleh rejim tentera Myanmar.
Sementara itu, seramai 2,931 orang berada dalam tahanan termasuk ahli-ahli Parlimen, wartawan, belia, pekerja dan penduduk awam setelah mereka melakukan protes mempertahankan demokrasi.
Tindakan syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia untuk meneruskan pelaburan dan operasi di Myanmar seolah-olah satu pengiktirafan kepada rejim tentera yang kejam dan terdapat kemungkinan segala keuntungan pelaburan yang dibayar kepada negara itu akan digunakan bagi membiayai tindakan zalim.
Kerajaan diseru mengambil tindakan segera untuk mengarahkan syarikat milik kerajaan (GLC) di bawahnya untuk menghentikan segala kerjasama dengan tentera Myanmar dan menarik balik semua pelaburan dari negara itu. Ia perlu demi menghentikan talian hayat kepada rejim tentera yang gila membunuh.
Kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 19 Mac lalu yang menyeru rejim tentera Myanmar untuk mengubah haluannya dan memilih satu jalan menuju penyelesaian secara aman adalah tidak mencukupi jika tiada tindakan tegas daripada kerajaan Malaysia.
Kerajaan harus memberikan mesej yang keras dengan memutuskan serta-merta kerjasama ketenteraan dan ekonomi dengan pemerintah tentera Myanmar. Ini termasuklah kerjasama penghantaran pulang warga Myanmar menggunakan kapal perang tentera negara itu.
Saya ucapkan soliadariti kepada rakyat Myanmar yang sedang berjuang dengan berani untuk melawan rejim tentera dan menegakkan demokrasi di negara itu.
CHOO CHON KAI
Kuala Lumpur