SAUDARA PENGARANG,
KETIKA banyak sektor seperti surat khabar mengalami kemerosotan jualan kerana orang ramai beralih kepada media sosial untuk mendapatkan berita, sebenarnya terdapat ‘mangsa’ terbaharu fenomena ini.
Mereka ialah pelobi dalam kalangan warganegara Israel dan masyarakat sivil yang berusaha menampilkan imej positif dan mesra negara itu melalui pertukaran budaya, sosial, ekonomi dan politik.
Naratif positif pelobi pro-Israel gagal meyakinkan masyarakat antarabangsa di peringkat akar umbi kerana media sosial merupakan penawar kuat terhadap ‘propaganda’ itu.
Menurut pemerhati politik Timur Tengah, pengaruh pelobi pro-Israel khususnya di Barat telah merosot sejak beberapa tahun lalu.
Ia disebabkan pencabulan hak asasi manusia dan salah laku oleh Pasukan Pertahanan Israel (IDF). Penindasan terhadap rakyat Palestin dilakukan secara terbuka.
Media sosial kerap memaparkan imej ngeri mangsa IDF. Pada masa sama menimbulkan rasa simpati yang kuat kepada rakyat Palestin yang tertindas.
Misalnya, video YouTube memaparkan perlakuan kejam terhadap wanita dan kanak-kanak Palestin oleh IDF secara sistematik dan berterusan hingga mencetuskan kemarahan dan simpati masyarakat antarabangsa.
Selain media sosial, kesilapan memilih kem politik iaitu menyokong parti Republikan dan bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang gagal mempertahankan jawatannya memainkan peranan penting menyebabkan kemerosotan pengaruh pelobi pro-Israel.
Boleh dikatakan di bawah Trump, pelobi pro-Israel di AS iaitu Jawatankuasa Hal Ehwal Awam Amerika-Israel (AIPAC) melalui menantunya yang juga seorang Yahudi, Jared Kushner berada di kemuncak.
Ketika pemerintahan Trump, pelobi pro-Israel menerusi Kushner berjaya memujuk rakan Arab AS masuk dalam sfera pengaruh pro-Zionis.
Dengan kata lain, salah perhitungan strategi dan taktikal pelobi pro-Israel di AS dengan meninggalkan pendekatan bipartisan iaitu menyokong kedua-dua parti, Republikan dan Demokrat menyebabkan kemerosotan pengaruhnya.
Ini seiring dengan peningkatan golongan anti-Zionis (bukan anti-Yahudi) dalam parti Demokrat yang mendorong Presiden AS, Joe Biden dan naibnya, Kamala Harris mengambil pendekatan ‘sederhana’ dalam isu Palestin.
Individu yang lebih cenderung bersimpati dengan perjuangan Palestin yang bertambah dalam hierarki kepimpinan parti Demokrat menyebabkan pelobi pro-Israel di AS kekurangan ruang untuk bergerak.
Kesimpulannya, di bawah Trump, parti Republikan bergerak lebih jauh ke haluan kanan sedangkan Demokrat yang dibantu perubahan demografi politik menuju arah bertentangan (iaitu haluan kiri) dalam isu Israel dan Palestin.
Perkembangan semasa dan (yang dijangka) pada masa depan tidak menguntungkan pelobi pro-Israel di AS.
Berikutan perkembangan terbaharu ini, kita boleh jangkakan pelobi pro-Israel secara keseluruhan akan mengalih perhatian dari Barat ke Timur Tengah, Afrika dan Asia bagi mendapat sokongan.
Lobi ini akan melibatkan pelbagai bidang kerjasama seperti ekonomi dan perindustrian, sains termasuk penyelidikan dan pembangunan (R&D), perubatan termasuk vaksin, pertanian, teknikal dan pelancongan.
JASON LOH SEONG WEI
Ketua Bahagian Sosial, Perundangan dan Hak Asasi EMIR Research