SAUDARA PENGARANG,
SAAT penganjur Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) ingin menyambut ulang tahun Piala Malaysia ke-100, seorang menteri besar mengeluarkan kenyataan bahawa penetapan gaji pemain yang terlalu tinggi boleh membunuh industri bola sepak tempatan.
Dikatakan kadar gaji bergerak lebih pantas daripada kadar keupayaan dalam mencari sumbangan dan kesanggupan syarikat untuk melakukan penajaan.
Hakikatnya, purata gaji pemain bola sepak hanyalah bayaran standard untuk status pemain profesional walau di negara mana sekalipun. Gaji pemain di luar negara jauh lebih mahal berbanding di negara ini.
Dari mana datangnya fakta gaji pemain yang membunuh industri bola sepak? Pihak berkenaan perlu belajar pengurusan bola sepak yang betul dengan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Johor.
Saya pasti baginda mempunyai resipi bagaimana mempertingkatkan pengurusan bola sepak seiring gaji pemain tanpa menimbulkan isu gaji pemain dalam industri bola sepak tempatan.
Saya tidak pasti adakah ahli-ahli politik tahu tentang selok-belok pengurusan bola sepak yang betul? Setakat ini, mana-mana ahli politik yang memegang jawatan dalam persatuan sukan gagal mengangkat sukan tersebut ke suatu aras yang lebih tinggi dan meninggalkan persatuan dengan pelbagai masalah.
Benar, gaji pemain haruslah setimpal dengan kemampuan kelab dan pemain bola sepak tersebut, namun hakikatnya ia bukanlah disebabkan faktor gaji pemain yang membunuh industri bola sepak negara.
YUSLAINI AZMI
Ketua Wanita Muda AMK Terengganu