SAUDARA PENGARANG,
PENULARAN pandemik Covid-19 di seluruh dunia sepatutnya dijadikan iktibar dan pengajaran bagi setiap lapisan masyarakat. Kesan wabak tersebut bukan sahaja menggugat kesihatan awam, malah menyebabkan sumber kewangan seseorang menjadi tenat.
Kisah masyarakat hilang pekerjaan sehingga perlu mengubah gaya hidup wajar dipandang serius oleh golongan muda agar tidak berulang atau dapat mengelakkan mereka daripada
menghadapi perkara sama.
Ramai yang terpaksa menjual aset dan menggunakan wang simpanan demi kelangsungan hidup dan memastikan nasib keluarga terbela.
Lihat sahaja bagaimana orang ramai terpaksa mengeluarkan duit caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui skim i-Sinar yang sepatutnya digunakan pada hari tua. Jika ada pilihan, sudah pasti mereka tidak akan lakukan perkara ini.
Justeru, golongan muda perlu belajar untuk hidup secara sederhana dengan mengutamakan perbelanjaan barangan keperluan dan bukannya seronok membeli mengikut nafsu.
Ini kerana sekiranya situasi sama berulang, tidak mustahil mereka pula akan menjadi mangsa keadaan ekoran masih banyak sektor di negara ini yang masih terkesan dan terpaksa menutup operasi.
Justeru, mereka perlu belajar menyimpan wang dari sekarang supaya mempunyai jumlah tabungan mencukupi dan boleh digunakan apabila terdesak.
Simpanlah sedikit demi sedikit agar akhirnya menjadi bukit.
MASTURA LAZIM
Kuala Lumpur