Kecewa dewan jadi mangsa politik - Utusan Malaysia

Kecewa dewan jadi mangsa politik

DEWAN Komuniti Taman Bersatu yang tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PERSATUAN Penduduk Taman Bersatu (PPTB), Simpang Pulai, Perak ditubuhkan pada 2013 dengan matlamat utama untuk mendapatkan tapak dan peruntukan bagi membina sebuah dewan komuniti.

Usaha itu membuahkan hasil apabila Dewan Komuniti Taman Bersatu siap dibina pada 2014. Pegawai Daerah Kinta menyerahkan bangunan kepada persatuan untuk diurus dan digunakan bagi kemudahan penduduk sekitar.

Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018, persatuan dikejutkan dengan tindakan beberapa ahli PKR berhimpun di depan dewan dan mengakui mengambil alih pengurusan.

Pada Mac 2020, persatuan menghantar surat kepada Pegawai Daerah Kinta merayu supaya dibenarkan terus menguruskan dewan tersebut. Persatuan kemudian menerima surat jawapan balas menyatakan sokongan atas permohonan kami.

Selepas itu, tanpa dimaklumkan secara rasmi, pengurusan dewan diserahkan kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), iaitu nama baharu bagi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Bagaimana persatuan yang sebelum ini menguruskan sebuah dewan komuniti tanpa memerlukan peruntukan daripada kerajaan dinafikan hak dari segi pengurusan?

Alasan yang diberikan ialah dewan dibina di atas tapak milik kerajaan. Sebenarnya peraturan yang ditetapkan adalah berlandaskan fahaman politik, bukannya kepentingan rakyat.

Sepatutnya kalau persatuan yang menguruskan, tidak timbul isu perubahan pengurusan dewan setiap kali terjadi pertukaran kerajaan kerana ahli persatuan terdiri daripada pelbagai fahaman politik.

Berikutan kerenah politik, sampai ke hari ini, pengurusan dewan masih tergantung dan kemudahan itu tidak boleh digunakan.

AZAMSAISI
Pengerusi PPTB

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN