SAUDARA PENGARANG,
EKONOMI negara secara kasar menyusut disebabkan oleh pelbagai krisis yang berlaku dalam negara. Paling terkesan disebabkan pandemik Covid-19.
Bank Negara Malaysia (BNM) beberapa kali sepanjang tahun lepas mengumumkan penurunan kadar dasar semalaman (OPR) bank kerana ekonomi Malaysia berkembang pada kadar jauh lebih rendah daripada ramalan sebelumnya.
Ini diperlukan kerana kestabilan kewangan menjadi lebih rapuh berikutan prospek ekonomi lembab, maka kerajaan perlu mengkoordinasikan langkah-langkah monetari dan fiskal bagi memacu ekonomi dalam negara.
Oleh itu, adalah perlu dasar monetari yang lebih cekap bagi mengurangkan kesan negatif. Pengurangan itu selaras usaha untuk menstabilkan ekonomi dan menyokong program nasional seperti Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).
Pengurangan OPR ini bermaksud mereka yang mengambil pinjaman bank akan menerima surat daripada bank memaklumkan pembayaran bulanan akan dikurangkan kerana penurunan kadar faedah.
Sekiranya kita memilih untuk mengekalkan pembayaran sedia ada, ia akan memendekkan keseluruhan tempoh. Pengurangan kadar dasar adalah petunjuk jelas bahawa ekonomi negara akan menghadapi masa-masa mencabar.
Apa yang dilakukan kerajaan adalah campur tangan untuk membuat lebih banyak wang beredar dalam pasaran dengan kadar pinjaman lebih murah sehingga masyarakat memiliki lebih banyak wang tunai dalam tangan.
Dengan itu, secara tidak langsung kita sebagai pengguna dapat menggunakan wang bagi perbelanjaan lain yang dapat membantu perniagaan terus bertahan. Prinsip asas ekonomi adalah semakin banyak wang berubah tangan, maka lebih banyak kesan kepada perniagaan dan masyarakat.
Ini kerana pandemik ini akan mempengaruhi penggunaan swasta dengan mengurangkan pendapatan isi rumah dalam sektor perkhidmatan, pertanian dan pembuatan serta peningkatan hutang isi rumah.
Sebagai warganegara yang bertanggungjawab, kita dapat membantu menggerakkan ekonomi negara melalui pembelian fizikal dan dalam talian yang berterusan di semua platform. Ini dapat membantu kita sebagai pengguna untuk mendapatkan barang yang kita perlukan dan penjual dapat menjual barangan mereka.
Melalui pesanan dalam talian seperti GrabFood, Foodpanda, Delivereat, Bungkusit, pengguna dapat menikmati makanan kegemaran mereka melalui aplikasi sekali gus membantu penghantar mencari nafkah. Kita hendaklah berbelanja dan teruskan berbelanja dengan berhati-hati untuk memacu ekonomi negara.
Kerajaan telah melaksanakan pelbagai pakej bantuan yang memberi manfaat kepada hampir keseluruhan penduduk. Jadi, kita sebagai warganegara mesti menolong kerajaan dengan terus berbelanja secara berhemah.
Ingatlah kata-kata bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), John F. Kennedy, “Jangan tanya apa yang boleh dilakukan oleh negara anda untuk anda, tanyakan apa yang boleh anda lakukan untuk negara anda.”
DR. MOHAMAD AKBAR NOOR MOHAMAD NOOR
Eksekutif syarikat milik kerajaan (GLC)