SAUDARA PENGARANG,
MALAYSIA jatuh enam anak tangga kepada kedudukan ke-57 daripada keseluruhan 180 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2020 dikeluarkan Transparency International (TI) berbanding kedudukan ke-51 pada 2019.
Malah negara kita juga mencatat skor 51 daripada 100 berbanding skor 53 pada 2019, berdasarkan tahap persepsi rasuah dalam sektor awam negara mengikut skala 0 (paling korup) hingga 100 (paling bersih).
Secara ringkas dan persepsinya, kejatuhan kedudukan dan skor ini sememangnya memberi tanggapan kegiatan rasuah semakin serius di negara ini. Namun begitu, kedudukan dan skor Malaysia dalam CPI 2020 tidak perlu dilihat dari sudut persepsi semata-mata tetapi juga dari sudut realiti.
Apabila semua pihak lihat dari sudut realiti, indeks itu mencerminkan keseriusan agensi penguat kuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui pelbagai operasi penguatkuasaan yang akhirnya membuahkan hasil apabila banyak tangkapan rasuah dibuat. Indeks realitinya pula, kita boleh rujuk data statistik tangkapan daripada SPRM.
Jika dilihat persepsi dan realiti, sentiasa bertembung dan terbalik. Kalau nampak persepsi ini turun (kedudukan), kita kena juga tengok data SPRM merangkumi jumlah tangkapan yang direkodkan.
Apa bukti rasuah banyak? Tangkapanlah (jumlah). Bila tangkapan banyak, mesti ada persepsi. Ini masalah persepsi dan realiti yang selalu bertentangan. Kita nampak SPRM bersungguh-sungguh buat kerja. Jadi, itu sebab kita nampak kegiatan rasuah banyak.
Misalnya, pada 2020 (https://www.sprm.gov.my/penguatkuasaan/statistik-operasi/statistik-tangkapan?id=3594) seramai 998 individu terdiri dari pelbagai latar belakang ditahan atas pelbagai kesalahan melibatkan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa termasuk juga jatuh hukum terhadap bekas Perdana Menteri.
Kedudukan dan skor Malaysia dalam CPI 2020 juga jelas tidak mencerminkan tindakan SPRM dalam usaha memerangi rasuah di negara ini. Ini kerana kedudukan dan skor itu tidak selari dengan usaha SPRM menangani rasuah melalui operasi dan penguatkuasaan secara berterusan.
Malaysia sepatutnya diletakkan pada kedudukan lebih baik jika mengambil kira tindakan agresif dan tangkapan ke atas individu yang terbabit dalam kegiatan rasuah.
Rakyat juga seharusnya bijak menilai dan tidak melihat hanya dari sudut persepsi pakar antarabangsa semata-mata. Sebaliknya turut melihat kepada aktiviti dan tindakan sudah dilaksanakan dalam usaha membanteras rasuah di negara ini.
Kita harus sedar, laporan mengenai kedudukan dan skor Malaysia dalam CPI 2020 dibuat berdasarkan persepsi daripada ekspatriat luar negara dan bukannya oleh masyarakat tempatan. Malah hasil laporan berkenaan juga tidak selari dengan tindakan dilakukan agensi-agensi di Malaysia.
Sebagai contoh, kebanyakan kajian CPI 2020 menyentuh isu perundangan seperti pindaan peruntukan undang-undang berkaitan political funding, penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), Whistle Blower Protection Act, kes yang melibatkan dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) dan lain-lain itu adalah di luar bidang kuasa SPRM. Isu yang disentuh ini melibatkan peranan serta fungsi badan atau agensi berkaitan.
Perlu diberi perhatian juga, di Malaysia sistem pengasingan kuasa dilaksanakan berbentuk dasar pentadbiran dengan pihak legislatif menjalankan fungsinya, pihak eksekutif menjalankan fungsinya manakala pihak judisiari menjalankan fungsinya tanpa sebarang campur tangan. Segala tindakan tidak dibuat oleh satu pihak sahaja. Masih ada mekanisme semak dan imbang.
Bagi mengukuhkan serta meningkatkan lagi keberkesanan CPI ini, ia perlu melibatkan peranan serta tanggungjawab dari semua pihak berkaitan dasar pentadbiran negara. Justeru, perlu lihat dari sudut realiti kerana persepsi ini pelbagai macam kita boleh terima tetapi realitinya bagaimana?
Jadi, jangan dengan kejatuhan kedudukan dan skor ini, kita terus berduka cita tetapi seharusnya ia memberi lagi semangat kepada semua agensi terutama SPRM untuk melaksanakan tugas.
Kita seharusnya melihat ini sebagai cabaran yang perlu ditangani bersama dan berharap masyarakat turut memberi sokongan dan memainkan peranan untuk melihat negara bebas rasuah serta isu salah guna kuasa.
SAUDAGAR PERANG
Putrajaya