SAUDARA PENGARANG,
AKHIRNYA projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur – Singapura sah terbatal dengan sendiri setelah Malaysia dan republik itu gagal mencapai kata sepakat dalam beberapa perkara.
Susulan pembatalan projek HSR, kerajaan disaran untuk menaik taraf sistem rel domestik terutama bagi perkhidmatan Express Rail Link Sdn. Bhd. (ERL), Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS).
Naik taraf ini penting bagi meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan kepada penumpang, membuka peluang pekerjaan kepada rakyat dan menyediakan infrastruktur pengangkutan awam lebih efisien untuk menarik minat pelabur asing melabur modal di Malaysia.
Malaysia mungkin masih berpeluang memiliki sistem kereta api laju sendiri tanpa perlu mengeluarkan kos setinggi projek HSR Kuala Lumpur – Singapura dengan menaik taraf landasan ERL sedia ada yang menggunakan tolok standard 1,435 milimeter (mm) sama seperti tolok HSR.
Dicadangkan agar kerajaan melaksanakan projek memanjangkan laluan ERL hingga ke Negeri Sembilan, Melaka dan Johor melalui jajaran yang dirancang untuk projek HSR Kuala Lumpur – Singapura dengan kelajuan tren minimum 200 kilometer sejam (km/j). Definisi HSR adalah 200 km/j untuk landasan lama dinaik taraf dan 250 km/j untuk landasan baharu.
Mengambil Britain sebagai contoh, kelajuan kereta api laju di empat laluan dinaik taraf hanya 200 km/j kecuali untuk laluan London – Paris (300 km/j).
Namun, pertimbangan dari segi keselamatan, kos serta kesan kepada harga tiket perlu diteliti sebelum peningkatan kelajuan tren ERL dilaksana untuk laluan KL Sentral ke KLIA/KLIA2. Pembinaan jajaran rel baharu ke Negeri Sembilan, Melaka dan Johor juga mampu mengurangkan kesesakan serius di Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus).
Cadangan kedua adalah membaik pulih landasan lama KTMB yang tidak digunakan lagi sebagai contoh landasan Seremban – Port Dickson dan Pasir Mas – Rantau Panjang – Sungai Golok bagi menggalakkan orang ramai menaiki kereta api untuk melancong dalam negara.
Projek Landasan Kereta Api Pintasan Serendah – Pelabuhan Klang juga perlu disegerakan bagi memudahkan pengangkutan kargo sekali gus menjimatkan kos dan masa. Landasan baharu ini membolehkan kereta api kargo dari utara terus ke Pelabuhan Klang tanpa melalui KL Sentral sekali gus dapat mengurangkan kesesakan rel di Lembah Klang ekoran perkongsian landasan kereta api kargo dengan KTM komuter, perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan antara bandar.
Akhir sekali, diharap agar kerajaan memberi perhatian untuk menambah baik mutu perkhidmatan kereta api di Sabah yang lokomotif dan gerabak digunakan telah usang.
Kajian juga boleh dibuat untuk membina landasan kereta api Trans Borneo Railway dari Kota Kinabalu ke Tawau dan seterusnya ke perbatasan Malaysia-Indonesia berikutan langkah republik berkenaan memindahkan ibu kota ke Kalimantan.
PENGGUNA PENGANGKUTAN AWAM
Kuala Lumpur