SAUDARA PENGARANG,
DILAPORKAN terdapat penjualan ubat-ubatan tanpa preskripsi doktor oleh pekedai runcit, malah turut membabitkan penjualan melalui platform beli-belah dalam talian dan media sosial.
Tindakan menjual ubat-ubatan tanpa preskripsi doktor adalah menyalahi undang-undang kerana akan membahayakan kesihatan atau nyawa pengguna.
Mengikut Akta Racun 1952, ada empat kategori ubat termasuk Kumpulan B yang menetapkan pesakit perlu menjalani pemeriksaan doktor terlebih dahulu dan mendapatkan preskripsi sebelum membeli ubat yang dikehendaki di farmasi atau klinik.
Antara ubat terkawal yang tersenarai dalam kategori berkenaan adalah semua jenis antibiotik, ubat darah tinggi, kencing manis, kolestrol, sesetengah ubat gastrik bagi mengurangkan asid dalam perut dan sesetengah ubat tahan sakit.
Mengikut undang-undang, pesakit yang mahu membeli ubat tersenarai dalam Kumpulan B perlu mendaftar nama, alamat dan klinik yang memberi preskripsi, dos ubat untuk tempoh hari serta tandatangan doktor.
Manakala bagi ubat-ubatan seperti ubat tahan sakit dalam Kategori C boleh dibeli di farmasi kerana pilihan pesakit sendiri atau tiada bekalan di klinik. Namun, perlu ada pendaftaran pembeli oleh pihak farmasi bagi mengawal pembeliannya.
Bagi kategori ubat am pula, ia boleh dibeli tanpa preskripsi doktor seperti suplemen kesihatan dan vitamin.
Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan perlu meningkatkan aspek penguatkuasaan secara lebih agresif bagi mengelak ubat-ubatan yang memerlukan preskripsi doktor dijual secara berleluasa dan sewenang-wenangnya di kedai runcit dan dalam talian. Pindaan juga perlu dibuat terhadap undang-undang sedia ada bagi mengenakan hukuman lebih berat.
DR. MOHAMAD SOFEE RAZAK
Peguam bela & peguam cara
Sungai Petani, Kedah