SAUDARA PENGARANG,
PENDEDAHAN Persatuan Optometris Malaysia baru-baru ini bahawa kira-kira dua juta kanak-kanak seawal usia tujuh tahun terpaksa mendapatkan rundingan pakar mata kerana masalah rabun jauh sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sesuatu yang mengejutkan. Hakikat yang dilaporkan itu mengesahkan kebimbangan ibu bapa bahawa terdedah kepada skrin gajet terlalu lama boleh menyebabkan rabun jauh.
Oleh itu ibu bapa perlu mengambil tindakan tegas termasuk memastikan anak-anak hanya boleh menghadap skrin selama dua jam seminggu seperti yang disyorkan oleh optometris. Jika menghadap skrin gajet terlalu lama, otot mata akan menjadi kejang dan lama-kelamaan terjadi rabun jauh. Antara tanda-tanda kanak-kanak menghadapi masalah penglihatan adalah apabila mereka mula mengecilkan mata untuk melihat dengan lebih jelas.
Cara-cara untuk mengelak otot mata kejang adalah dengan merehatkan pancaindera itu setelah merenung skrin gajet selama 20 minit. Pemeriksaan rutin mata anak-anak perlu dilakukan setahun sekali untuk mengetahui tahap kerabunan sama ada meningkat terlalu tinggi atau sebaliknya. Pada masa sama, pastikan optometris yang ditemui mempunyai tauliah.
SAIFUL ABDULLAH
Gombak