Dengar pandangan ibu bapa, murid - Utusan Malaysia

Dengar pandangan ibu bapa, murid

- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA ingin mengulas hasil Kajian Pandemik Pasca Penjarakan Sosial Pasca Covid-19 yang dijalankan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) bersama-sama 100 pakar pendidikan baru-baru ini. Kajian itu mendapati 93 peratus guru memilih kaedah pembelajaran bersemuka di dalam kelas sebagai pilihan utama pembelajaran dan pengajaran (PnP) pasca Covid-19 di sekolah.

Bagi saya kajian itu tidak menyeluruh kerana NUTP tidak mendapatkan pandangan ibu bapa dan murid yang terpaksa mengeluarkan kos lebih banyak jika ke sekolah berikutan terpaksa mematuhi kebiasaan baharu pasca Covid-19. Contohnya, tambang van sekolah sudah pasti akan dinaikkan berikutan pemandu tidak lagi boleh membawa banyak murid bagi setiap perjalanan. Murid juga terpaksa menunggu lebih lama kerana van terpaksa berulang alik lebih kerap untuk mengambil mereka.

Saya berpendapat pandemik Covid-19 harus dijadikan sebagai penyebab untuk kerajaan memodenkan pendidikan terutama di sekolah bandar yang tidak menghadapi masalah capaian jalur lebar.

Seeloknya, tiga kaedah diutamakan sebagai alternatif kepada PnP di dalam kelas di sekolah iaitu segerak, tidak segerak dan offline (luar talian).

Segerak dilakukan secara live (langsung) menerusi aplikasi seperti Google Meet, Zoom, Skype dan panggilan video. Sementara kaedah tak segerak dan offline dibuat secara rakaman video serta pemberian tugasan tertentu kepada murid tanpa perlu hadir ke sekolah.

Bagi saya tiga kaedah itu akan menjimatkan lebih banyak kos kepada kerajaan termasuk membolehkan pengurangan jumlah guru yang boleh dilatih dengan kemahiran baharu sesuai dengan perkembangan zaman.

Walaupun cadangan ini tidak dapat dilaksanakan sekarang kerana sekolah-sekolah telah dibuka dengan keutamaan kepada kaedah pembelajaran bersemuka di dalam kelas, perlu ada usaha bersungguh-sungguh untuk mencuba kaedah lain yang lebih cekap dan menjimatkan kos.

BEKAS GURU
Taiping

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN