TAHNIAH kepada Utusan Malaysia atas kelahiran semulanya. Ia bukan akhbar yang calang-calang. Namanya cukup besar, walaupun tidaklah sebesar nama Utusan Melayu, pendukung asalnya.
Walaupun yang menerbitkannya bukan lagi Utusan Melayu, syarikat yang melahirkan dan merekrut ramai nasionalis Melayu, ia tidak mengubah hakikat bahawa Utusan Malaysia itu adalah kesinambungan roh perjuangan mereka yang terdahulu.
Ia kekal menjadi simbol pencetus dan pendukung kebangkitan orang Melayu sejak zaman Utusan Melayu versi Eunos Abdullah sehinggalah era Utusan Melayu versi Yusof Ishak, Abdul Rahim Kajai dan seterusnya membawa ke zaman Samad Ismail, Mazlan Nordin, Pak Melan, Tan Sri Zam (Zainuddin Maidin) sehinggalah sekarang.
Utusan Melayulah yang menjadi suara penggerak utama dalam ‘perang’ Melayu melawan agenda Malayan Union British. Begitu lantang suara akhbar itu sehingga diberitakan Datuk Onn Jaafar sendiri mengucapkan terima kasih kepada pengasas dan pengarangnya, Yusof Ishak.
Begitu besar sekali peranannya. Sesungguhnya keakraban Utusan dengan perjuangan serta hati nurani Melayu tidak boleh dipertikai.
Utusan Melayu, yang kemudian diambil alih peranannya oleh Utusan Malaysia, kekal menjadi suara ‘Melayu’ dan suara ‘Malaysia’ yang disegani untuk tempoh yang lama. Malangnya ia perlahan-lahan kalah kepada perubahan zaman. Seperti banyak akhbar lain di dunia, Utusan Malaysia menjadi korban kepada disrupsi teknologi maklumat yang menyaksikan media cetak diketepikan secara beransur-ansur.
Saya tidak mahu berkata tanggapan itu salah, tetapi ia bukanlah seratus peratus betul. Ramai dalam kalangan yang percaya pada tanggapan itu sebetulnya tidak pernah mengenal Utusan dari dekat. Kalau kenal pun sekadar ‘kenal-kenal ayam’.
Yang mengenali akhbar cukup tahu bahawa Utusan bukanlah pendukung dasar-dasar kerajaan secara membuta-tuli. Dalam banyak kes, ia malah menjadi pengkritik tegar kerajaan.
MENANGIS KECIL
Takdir menentukan Utusan kalah dalam pertarungan melawan persepsi dan penjarahan media baharu. Akhirnya pada 9 Oktober tahun lalu, ia dikebumikan buat sementara waktu. Saya antara orang yang menangis kecil meratapinya. Saya belajar mengeja dengan akhbar Utusan lewat 1970-an.
Kini selepas ia hidup kembali, kita semua sama-sama mempunyai peluang untuk memastikan tragedi kematiannya tidak dibiarkan berulang. Sematkan di fikiran bahawa senaskhah yang kita beli bukanlah semata-mata untuk menyelamatkan sebuah organisasi tetapi juga untuk kelangsungan sebuah perjuangan bangsa.
Utusan Malaysia tidak perlu berganjak daripada asas perjuangan itu. Tetapi pada hemat saya, corak dan pendekatan haruslah disesuaikan dengan kehendak semasa. Langit yang terus terbuka menjadikan apa sahaja yang cuba ditutup dengan nyiru dan lalang akan kelihatan pelik dan ganjil.
Semangat Almarhum Pak Said Zahari harus dijadikan tangkal. Sejarah tidak akan melupakan bagaimana bekas Ketua Pengarang Utusan itu menggerakkan mogok bagi membantah Utusan dikuasai oleh organisasi politik. Baginya Utusan mestilah kekal kritikal dan hak itu tidak harus dikompromi.
Walaupun ada yang berkata tindakan mogok itu lebih kepada pertembungan antara kumpulan yang mendokong Melayu Raya, yang ketika itu mendominasi Utusan dengan kerajaan pimpinan Tunku Abdul Rahman yang mahu membersihkan Utusan daripada kumpulan itu, yang condong kepada sosialisme dan kapitalisme, namun pada hakikatnya ia tetap mempunyai asas; bahawa media harus bebas daripada penguasa politik.
Saya orang politik, dan saya juga orang UMNO. Saya antara penulis kolum untuk akhbar Utusan. Namun di sebalik itu saya juga adalah pecinta kebebasan media. Saya menghormati hak bersuara dan hak mendengar suara. Sebab itulah apabila menelusuri sejarah Utusan Melayu/Utusan Malaysia, saya teruja dengan profesionalisme yang ditunjukkan oleh pendokong-pendokong awalnya.
SEIMBANG
Berdasarkan sejarah yang saya baca dan cerita yang saya dengar, di Utusan Melayu pada ketika itu ada orang kanan dan ada orang kiri. Saya kagum melihat bagaimana Yusof Ishak, seorang yang condong kepada kapitalisme boleh bekerjasama erat dengan Pak Samad (Tan Sri Samad Ismail) yang lebih terarah kepada sosialisme. Dan kehadiran serta kerjasama mereka berdua meletakkan
Utusan dalam keadaan seimbang.
Alangkah manisnya kalau Utusan Malaysia yang baru dilahirkan semula ini bergerak atas asas yang sama. Dengan bahasa mudahnya Utusan Malaysia harus kembali ke wajah asalnya. Vokal. Seimbang. Kekal di tengah.
Namun begitu beringat-ingatlah. Kebebasan, dalam apa juga keadaan, tidak harus bersifat mutlak. Ia tetap ada tata dan tertibnya.
Kebebasan media juga begitu. Freedom of press bukanlah kata keramat yang memberi lesen kepada sesiapa pun untuk mengabaikan asas-asas kewartawanan; benar dan tepat, bebas, adil dan tidak memihak serta bertanggungjawab.
Pembaca juga, pada pendapat saya, perlu berlaku adil. Adalah satu kesilapan besar jika kita menaruh anggapan bahawa apa sahaja yang bersifat membantah dan menentang itu sebagai contoh kepada kebebasan bersuara, manakala segala yang menyokong dan mendokong dianggap sebaliknya. Memaksa orang lain untuk mempercayai apa yang kita anggap benar juga sesungguhnya bercanggah dengan prinsip kebebasan..
Apa pun kita percaya Utusan Malaysia yang baharu ini tahu di mana ia harus berdiri – menjadi suara Melayu dan suara Malaysia bukan atas dasar kepartian. Ia harus terus berkata benar walaupun ada ketikanya kebenaran itu mungkin mengigit banyak pihak.
Memang benar, persaingannya dengan media baharu tetap ada dan tetap sengit. Namun jika Utusan Malaysia istiqamah dengan perjuangannya, tempatnya pasti ada. Apatah lagi tahun-tahun kebelakangan ini menyaksikan media baharu – media sosial khususnya – semakin bercelaru dan menjadi tempat lambakan yang menyulitkan kita memilih antara yang betul dan yang tidak, yang benar dan yang salah.
Keadaan itu lambat laun akan menyebabkan pengguna menjadikan kluster media tersebut hanya tempat untuk berseronok suka dan pada waktu itulah mereka akan perlahan-lahan berpatah balik kepada media konvensional yang tentulah lebih boleh dipertanggungjawabkan.
Dan pada waktu itu saya berharap Utusan Malaysia masih berada di sana untuk tatapan massa!
PENULIS ialah Setiausaha Politik kepada Menteri Wilayah Persekutuan