Tun Dr. Siti Hasmah dalam ingatan

Tun Dr. Siti Hasmah dalam ingatan

SELAMA puluhan tahun, media mempertemukan kita dengan Allahyarham Dr. Siti Hasmah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMAI antara kita tidak pernah bertemu dengan Allahyarham Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali secara langsung. Beliau juga tidak pernah mengenali kita. Namun pemergian beliau terasa sangat dekat.

Bagi generasi yang membesar dengan media tradisional, wajah Dr. Siti Hasmah sudah lama menjadi sebahagian daripada landskap media Malaysia. Kita melihat beliau di kaca televisyen, membacanya di dada akhbar dan mendengar mengenai dirinya melalui berita.

Ketika televisyen menjadi nadi ruang tamu keluarga, wajah itu kerap hadir bersama perkembangan negara. Ada ketikanya dalam acara rasmi. Ada waktunya berdiri di sisi Tun Dr. Mahathir Mohamad. Ada masanya kamera hanya sempat merakam senyuman atau reaksinya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Begitulah media bekerja. Sedikit demi sedikit, satu imej menjadi dikenali. Tahun demi tahun, seseorang yang tidak pernah ditemui boleh terasa seperti sudah lama kenal. Kemudian media berubah.

Jika dahulu institusi media menentukan gambar dan kisah Dr. Siti Hasmah yang ‘sampai’ kepada masyarakat, hari ini rakyat sendiri menyumbang kepada pembentukan memori tentang beliau. 

Kita sendiri menjadi pencerita. Mungkin di sinilah jawapan persoalan mengapa pemergian seseorang yang tidak pernah kita temui boleh terasa begitu dekat. Kerana selama puluhan tahun, media mempertemukan kita dengannya. Bukan secara fizikal tetapi melalui imej, suara dan cerita. Tanpa disedari, kehadiran itu menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup kita sendiri.

Hari ini, media yang sama membawa berita pemergian beliau selain dalam masa sama  memastikan cerita tentang beliau tidak pergi bersama-sama. 

Setiap gambar dikongsi, setiap rakaman lama dimainkan semula dan setiap pengalaman pertemuan yang diceritakan sedang menambah satu lagi lapisan kepada ingatan kita tentang beliau.

Mungkin ada banyak sisi allahyarham yang tidak pernah kita ketahui. Tetapi sejak pemergian beliau, melalui cerita mereka yang pernah bertemu dan bekerja dengan beliau, kita seperti sedang mengenali beliau sekali lagi. Kali ini bukan hanya sebagai tokoh yang selama ini kita lihat di kaca televisyen. 

Bekas isteri perdana menteri yang digelar ibu negara itu ditampilkan sebagai figura yang pernah menyentuh kehidupan individu lain. Kadangkala hanya melalui sebuah senyuman, sapaan atau kebaikan kecil yang tidak pernah masuk berita. Selama puluhan tahun, media membawa beliau begitu dekat dengan kita. Kerana itu, kehilangan beliau sangat kita rasakan.

Selamat jalan, Bonda.

Kisah-kisah tentangmu akan terus hidup dalam ingatan sebuah negara.

Al-Fatihah. –UTUSAN

 

DR. SITI AISHAH MOHAMMAD RAZI

Jabatan Komunikasi,

Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi,

Universiti Putra Malaysia (UPM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×