PENDIDIK sering diibaratkan sebagai lilin yang membakar diri untuk menerangi kehidupan orang lain. Mereka memberikan ilmu, masa dan tenaga dengan harapan anak didik mampu membina masa depan lebih baik.
Namun, di sebalik perumpamaan itu, ada satu perkara yang wajar direnungkan, sampai bila seorang pendidik perlu terus berkorban sehingga mengabaikan batas kemampuan sendiri?
Menjadi pendidik bukan sekadar menyampaikan ilmu, memberi tugasan atau menilai pencapaian pelajar.
Setiap anak didik hadir dengan latar kehidupan berbeza. Ada yang mendapat sokongan keluarga, manakala sebahagian lagi berjuang dengan kekangan kewangan demi mengejar impian. Bagi mereka, pendidikan boleh menjadi jalan meningkatkan taraf hidup dan mengubah masa depan keluarga.
Atas sebab itu, apabila melihat pelajar berpotensi tetapi berdepan kesukaran, pendidik lazimnya cuba mencari ruang untuk membantu.
Dalam dunia akademik, antara peluang yang tersedia ialah penglibatan dalam geran penyelidikan atau projek universiti, tertakluk kepada syarat dan peraturan yang ditetapkan.
Peluang berkenaan bukan sekadar memberikan sokongan kewangan. Pelajar turut memperoleh pengalaman menjalankan penyelidikan, mengurus data, menulis laporan, menggunakan teknologi serta membina kemahiran profesional.
Bagi pensyarah, melihat seorang pelajar terus bertahan hingga menamatkan pengajian menjadi kepuasan yang sukar digambarkan.
Namun, tidak semua perjalanan berakhir seperti yang dirancang.
Apabila pelajar menarik diri daripada projek, menangguhkan pengajian atau tidak lagi mampu melaksanakan tugas, tanggungjawab terhadap penyelidikan tetap perlu diteruskan.
Geran mesti diselesaikan, laporan dihantar, data dilengkapkan dan perbelanjaan direkodkan. Amanah yang ditinggalkan akhirnya kembali kepada ketua projek atau pensyarah.
Di sinilah bantuan dan amanah perlu dilihat sebagai dua perkara yang tidak boleh dipisahkan. Peluang mungkin hadir dalam bentuk pembiayaan, kemudahan, pengalaman serta bimbingan tetapi penerimanya tetap perlu melaksanakan tugas yang dipersetujui dengan komitmen dan integriti.
Kita sering memberi perhatian kepada kebajikan pelajar dan perkara itu sememangnya penting. Namun, kesejahteraan pendidik juga tidak boleh diketepikan. Pensyarah bukan sahaja mengajar, malah menyelia pelajar, menjalankan penyelidikan, mengurus geran, menghasilkan penerbitan, melaksanakan tugas pentadbiran serta memberikan khidmat kepada universiti dan masyarakat.
Apabila tanggungjawab yang sepatutnya dikongsi akhirnya dipikul seorang individu, beban menjadi semakin berat. Keadaan ini boleh menyebabkan pendidik berasa serik untuk menawarkan peluang yang sama kepada pelajar lain.
Hal ini tidak bermakna semua pelajar tidak bertanggungjawab. Ramai yang bersungguh-sungguh, berdikari dan menghargai setiap peluang yang diterima. Namun, pendidikan juga perlu membentuk kesedaran setiap bantuan hadir bersama amanah. Menerima peluang bererti bersedia memberikan komitmen.
Justeru, budaya membantu perlu disokong dengan sistem tanggungjawab bersama. Skop tugas, tempoh pelaksanaan, hasil yang perlu dicapai serta peranan setiap pihak hendaklah dijelaskan sejak awal.
Jika berlaku penarikan diri, perlu ada proses penyerahan tugas, data dan dokumen secara teratur supaya beban tidak tertumpu kepada seorang pensyarah.
Langkah itu bukan untuk menghukum pelajar, sebaliknya mendidik mereka memahami tuntutan profesional.
Dalam dunia pekerjaan, perubahan keadaan bukan alasan untuk meninggalkan amanah tanpa penyelesaian.
Pendidik akan terus mahu melihat anak didiknya berjaya. Mereka mahu melihat pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan berdiri di pentas konvokesyen dan menggunakan pendidikan sebagai jalan mengubah kehidupan. Namun, pendidik juga mempunyai keluarga, emosi, tanggungjawab dan batas kemampuan.
Pendidik boleh membuka pintu tetapi pelajar perlu melangkah. Mereka boleh memberikan peluang tetapi penerima perlu menghargainya.
Bantuan boleh meringankan beban tetapi tidak seharusnya menyebabkan pemberi memikul keseluruhannya.
Pendidikan bukan hanya tentang menjaga mereka yang menerima ilmu tetapi turut memastikan mereka yang memberi ilmu terus mampu menyalakan harapan.
Pendidik boleh menjadi lilin yang menerangi orang lain tetapi cahaya itu perlu dijaga agar tidak padam kerana terlalu lama membakar diri. -UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. NOR HAZLYNA HARUN
Universiti Utara Malaysia (UUM)











