Pendidikan membina jambatan persahabatan Malaysia-China

Pendidikan membina jambatan persahabatan Malaysia-China

PENDIDIKAN bukan sahaja menyampaikan ilmu, malah membina sahsiah dan mengeratkan persahabatan antara negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADA satu perkara kecil yang sukar saya lupakan tentang sekumpulan pelajar dari China yang berkunjung ke Universiti Utara Malaysia (UUM).

Mereka bukan datang semata-mata dari sebuah institusi maritim yang mempunyai sejarah panjang atau mengikuti program akademik, lawatan kampus dan sesi perkongsian ilmu yang tersusun. Sebaliknya, selepas mereka meninggalkan bilik kuliah, ruang makan, bas, hotel dan tempat lawatan, tiada sampah yang ditinggalkan.

Dalam dunia yang sibuk membicarakan kecerdasan buatan (AI), teknologi tinggi, kedudukan universiti dan bakat global, sikap sederhana itu membawa makna besar. Ia mencerminkan disiplin, adab, tanggungjawab, rasa hormat terhadap tuan rumah serta pembentukan sahsiah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam pendidikan tinggi, nilai seperti ini kadangkala meninggalkan kesan lebih mendalam daripada ucapan rasmi atau sijil penyertaan.

Pengalaman itu menjadi sebahagian daripada kisah Program Mobiliti Masuk UUM dan Institut Maritim Jiangsu 2026 yang berlangsung dari 21 hingga 27 Jun, lalu di kampus hijau UUM, Sintok, Kedah.

Program ini disertai 18 pelajar dan dua orang wakil Institut Maritim Jiangsu, China. Kehadiran mereka bukan sekadar untuk mengikuti aktiviti akademik, malah membuka ruang kepada persahabatan antara budaya dan pengukuhan hubungan dua negara.

Pendidikan bukan hanya proses memindahkan ilmu daripada pensyarah kepada pelajar. Pendidikan juga menjadi jambatan yang menghubungkan manusia, budaya dan negara.

Sepanjang berada di Malaysia, pelajar institut berkenaan membawa diri dengan baik sebagai wakil institusi dan negara mereka. Sikap tersebut membuktikan pertukaran pendidikan turut memberi peluang kepada peserta untuk mengenali cara hidup, nilai dan budaya masyarakat setempat.

Universiti hari ini tidak lagi boleh berfungsi sebagai menara ilmu yang tertutup tetapi membuka ruang kepada perkongsian pengetahuan merentas sempadan, bahasa dan budaya. Oleh itu, program pertukaran pelajar seperti ini wajar dilihat sebagai sebahagian daripada diplomasi pendidikan yang mengukuhkan hubungan rakyat dengan rakyat.

Dalam konteks Malaysia-China, usaha sedemikian mempunyai kepentingan tersendiri. Hubungan diplomatik kedua-dua negara bermula pada 31 Mei 1974, manakala tahun 2024 menandakan ulang tahun ke-50 hubungan tersebut.

Memasuki tahun ke-52 pada 2026, hubungan ini boleh terus diperkukuh bukan sahaja melalui perdagangan dan pelaburan tetapi juga menerusi pendidikan, kebudayaan serta interaksi generasi muda.

Hubungan antara negara tidak terbina melalui mesyuarat peringkat tinggi, perjanjian perdagangan dan kenyataan diplomatik semata-mata. Pengalaman peribadi juga mampu meninggalkan kesan berkekalan.

Pelajar yang dilayan dengan baik akan membawa pulang kenangan positif tentang Malaysia, manakala pensyarah yang berkongsi ilmu dengan ikhlas dapat menjadi gambaran mesra institusi yang diwakilinya.

Kampus yang menyambut tetamu dengan hati terbuka akhirnya mampu menjadi penghubung antara dua bangsa.

Malaysia mempunyai kelebihan sebagai destinasi pendidikan antarabangsa kerana menawarkan bukan sahaja pembelajaran akademik, malah pengalaman hidup dalam masyarakat majmuk.

Pelajar dari luar negara berpeluang menyaksikan sendiri bagaimana pelbagai budaya, bahasa dan tradisi hidup bersama. Pengalaman ini membantu mereka memahami kepentingan sikap saling menghormati, toleransi dan kebersamaan.

Dalam persaingan pendidikan tinggi global, kedudukan universiti turut menjadi perhatian pelajar, ibu bapa, industri dan rakan antarabangsa.

Berdasarkan Penarafan Universiti Dunia QS 2027, UUM berada pada kedudukan ke-540 dunia. Walaupun kedudukannya berubah berbanding tahun sebelumnya, pencapaian ini menunjukkan UUM terus tersenarai dalam kelompok universiti yang diiktiraf pada peringkat global.

Namun, penarafan bukan sekadar angka. Universiti perlu terus memperkukuh reputasi akademik, penyelidikan, kebolehpasaran graduan dan jaringan antarabangsa.

Kerjasama UUM dengan Institut Maritim Jiangsu turut menyokong usaha pengantarabangsaan universiti serta aspirasi Dasar Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi Malaysia 2025-2030 untuk meningkatkan daya saing negara.

Sepanjang program, pelajar institut berkenaan mengikuti sesi berkaitan sektor maritim, peluang kerjaya, undang-undang maritim dan penggunaan kecerdasan buatan dalam industri tersebut.

Mereka turut didedahkan kepada program pengajian prasiswazah dan pascasiswazah di Sekolah Pengurusan Teknologi dan Logistik. Namun, kesan paling bermakna terserlah melalui perkembangan keyakinan diri peserta.

Pada awalnya, sebahagian mereka kelihatan berhati-hati ketika berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Hari demi hari, mereka semakin berani bertanya, berbual dan berkongsi pandangan. Perubahan ini membuktikan bahawa kesediaan mencuba mampu membina keyakinan, sekali gus menjadikan bahasa sebagai jambatan untuk memahami dunia.

Lebih daripada pencapaian akademik, mereka turut menunjukkan kesopanan, kerendahan hati, ketepatan masa dan kesungguhan untuk belajar. Sikap menjaga kebersihan serta menghargai setiap bantuan mengingatkan kita bahawa kecemerlangan bukan hanya diukur melalui markah, pangkat atau kedudukan tetapi juga melalui akhlak dan cara seseorang membawa diri.

Kerjasama UUM dengan Institut Maritim Jiangsu berpotensi diperluas melalui pertukaran pelajar, pertukaran pensyarah, penyelidikan bersama dan pembangunan kurikulum.

Pertemuan kepakaran institut tersebut dalam bidang maritim dengan kekuatan Sekolah Pengurusan Teknologi dan Logistik dalam pengurusan, logistik, teknologi dan rantaian bekalan membuka peluang kepada kerjasama yang lebih strategik. Asas utamanya ialah kepercayaan yang dibina melalui keikhlasan dan pengalaman bersama.

Program ini bukan sekadar tentang lawatan, bilik kuliah atau sijil penyertaan. Ia mengisahkan anak muda yang datang untuk menimba ilmu, kemudian pulang dengan pengalaman dan kenangan baharu. –UTUSAN

DR. CHUAH LAI FATT
Sekolah Pengurusan
Teknologi dan Logistik (STML)
Universiti Utara Malaysia (UUM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini