Loghat berubah tapi identiti kekal

Loghat berubah tapi identiti kekal

PERUBAHAN loghat tidak memadamkan identiti dan asal usul seseorang yang berhijrah ke bandar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERUBAHAN loghat dalam kalangan anak muda yang berhijrah ke bandar sering disalah anggap sebagai tanda melupakan asal usul.

Hakikatnya, penyesuaian cara pertuturan lebih berkait dengan keperluan komunikasi dan persekitaran sosial, bukannya penolakan identiti sendiri.

Tanggapan ini mengabaikan hakikat bahasa sentiasa berubah mengikut situasi, hubungan dan tujuan komunikasi. Kebolehan menyesuaikan gaya pertuturan sebenarnya mencerminkan kecekapan sosial.

Memuatkan artikel berkaitan…

Fenomena ini semakin ketara apabila penghijrahan mempertemukan masyarakat daripada pelbagai latar budaya.

Dalam bidang komunikasi, Teori Akomodasi Komunikasi menerangkan bagaimana seseorang mengubah gaya pertuturan untuk memudahkan kefahaman serta merapatkan hubungan sosial.

Konsep peralihan gaya pula merujuk perubahan gaya bahasa mengikut konteks. Penyesuaian ini tidak bermaksud seseorang kehilangan identiti, sebaliknya menunjukkan keupayaan menggunakan bahasa secara fleksibel.

Namun, penilaian masyarakat sering menjadikan loghat sebagai ukuran tanda setia terhadap budaya. Individu yang masih menghormati keluarga, menjaga hubungan dengan komuniti dan mengamalkan nilai asal boleh dianggap melupakan akar umbi hanya kerana perubahan sebutan. Sedangkan identiti budaya jauh lebih luas daripada cara seseorang bertutur.

Bandar juga mempunyai variasi loghat tersendiri. Bahasa yang dianggap neutral lazimnya ialah bentuk yang dominan dalam pendidikan, media dan pentadbiran. Keadaan ini boleh mewujudkan hierarki bahasa yang meletakkan dialek tertentu pada kedudukan lebih rendah.

Loghat turut membawa nilai warisan kerana menyimpan sejarah, kosa kata dan pengalaman sesebuah komuniti. Oleh itu, pemeliharaannya perlu diperkukuh melalui pendidikan, dokumentasi serta penggunaan antara generasi. Media juga wajar mengelakkan gambaran stereotaip yang mengaitkan penutur dialek dengan kelucuan atau tahap pendidikan rendah.

Majikan pula perlu menilai pekerja berdasarkan kejelasan komunikasi dan kecekapan, bukannya sebutan semata-mata. Institusi pendidikan boleh membimbing pelajar menguasai bahasa standard tanpa mengetepikan dialek tempatan. -UTUSAN

NURHANNY ARISYA BKHORI dan NURUL NISHA MOHD. SHAH
Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media,
Universiti Teknologi Mara (UiTM),
Cawangan Negeri Sembilan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini