Jangan normalisasikan keganasan seksual

Jangan normalisasikan keganasan seksual

PENCEGAHAN keganasan seksual perlu bermula lebih awal dengan membina budaya yang menghormati maruah, batas peribadi dan persetujuan setiap individu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA membincangkan keganasan seksual, perhatian masyarakat sering tertumpu kepada kes serius seperti serangan seksual dan rogol.

Perbincangan biasanya berkisar tentang pelaku, mangsa, bagaimana kejadian berlaku serta hukuman yang wajar.

Namun, usaha mencegahnya tidak sepatutnya bermula selepas jenayah berlaku. Kita perlu melihat budaya dan tingkah laku yang terbentuk lebih awal.

Memuatkan artikel berkaitan…

Konsep Piramid Budaya Rogol memberikan kerangka untuk memahami perkara ini. Piramid tersebut menunjukkan bagaimana sikap dan perbuatan yang kelihatan kecil boleh membentuk persekitaran sosial yang meremehkan keganasan seksual.

Di bahagian bawah terdapat stereotaip gender, objektifikasi seksual, jenaka berunsur seksual, catcalling, gangguan seksual dan kecenderungan menyalahkan mangsa.

Tingkah laku tersebut tidak mempunyai tahap keseriusan yang sama dengan rogol. Namun, apabila terus diterima atau dianggap sebagai gurauan, kepekaan masyarakat terhadap pelanggaran batas, maruah dan hak individu boleh semakin terhakis.

Pada tahap lebih tinggi, perbuatan menjadi semakin serius sehingga merangkumi paksaan seksual, sentuhan tanpa kerelaan dan serangan seksual.

Piramid ini bukan bermaksud setiap individu yang melakukan perbuatan tidak sesuai akan menjadi pelaku rogol. Sebaliknya, ia membantu kita memahami bagaimana budaya toleransi terhadap perlakuan salah boleh terbentuk.

Persoalan penting bukan sekadar sejauh mana sesuatu perbuatan perlu dihukum tetapi mengapa perkara yang salah dibiarkan menjadi kebiasaan.

Pemahaman tentang persetujuan perlu menjadi asas pencegahan. Persetujuan mesti diberikan secara bebas tanpa paksaan, manipulasi atau tekanan.

Persetujuan terhadap satu bentuk interaksi tidak bermakna seseorang bersetuju dengan perkara lain. Hubungan sebagai pasangan atau suami isteri juga tidak menghilangkan hak terhadap tubuh sendiri.

Prinsip ini perlu diajar sejak awal melalui pendidikan sosial dan pembentukan sahsiah. Keluarga ialah ruang pertama untuk anak memahami tubuh, privasi, batas peribadi, rasa hormat dan hak untuk menolak sentuhan yang tidak diingini.

Ibu bapa juga perlu berhati-hati terhadap norma yang diwariskan. Anak lelaki tidak wajar dibentuk dengan anggapan sifat agresif atau dominan ialah perkara semula jadi, manakala anak perempuan tidak sepatutnya dipertanggungjawabkan atas perlakuan orang lain melalui pakaian atau cara mereka membawa diri. Tanggungjawab perlu diletakkan kepada individu yang melakukan perbuatan tersebut.

Guru dan institusi pendidikan turut memainkan peranan penting. Pelajar perlu memahami perbezaan antara gurauan dengan gangguan, pujukan dengan paksaan serta tarikan dengan perlakuan yang melampaui batas. Tingkah laku tidak sesuai tidak seharusnya diketepikan sebagai kenakalan biasa.

Pada masa sama, saluran aduan perlu berfungsi dengan baik. Mereka yang membuat laporan mesti yakin suara mereka akan didengar, dinilai secara profesional dan dikendalikan tanpa stigma atau kecenderungan menyalahkan mangsa.

Media, kandungan digital serta masyarakat turut membentuk cara kita melihat gender, kuasa dan hubungan.

Kandungan yang merendahkan atau mengobjektifikasikan seseorang boleh dinormalisasikan apabila terus dikongsi dan diberikan perhatian.

Justeru, pencegahan memerlukan perubahan budaya. Kita perlu berhenti menilai keseriusan sesuatu perlakuan berdasarkan pakaian mangsa, sejauh mana mereka melawan atau hubungan mereka dengan pelaku. –UTUSAN

 

DR. MUHAMMAD HAZIQ ZAINI

Pensyarah Kanan,

Pusat Pengajian Asas,

Management and Science University (MSU)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini