SEMUA jabatan dan agensi kerajaan sama ada di peringkat persekutuan ataupun di peringkat negeri boleh memberi pertimbangan untuk tidak menganjurkan majlis sambutan hari raya. Dengan keadaan ekonomi yang tidak beberapa kukuh pada ketika ini, adakah wajar untuk jabatan dan agensi kerajaan ini menganjurkan rumah terbuka atau majlis sambutan hari raya?
Penganjuran rumah terbuka atau majlis sambutan sambutan hari raya boleh melibatkan kos tinggi serta tidak membawa manfaat besar untuk rakyat dan negara.
Rakyat perlukan peluang pekerjaan dengan gaji setimpal supaya mereka dapat lalui kepayahan hidup pada ketika ini dan bukannya makan atau minum percuma anjuran rumah terbuka atau majlis sambutan hari raya. Oleh yang demikian, diseru supaya setiap jabatan dan agensi kerajaan tidak menganjurkan rumah terbuka atau majlis sambutan hari raya pada tahun ini.
Segala wang peruntukan untuk penganjuran rumah terbuka atau majlis sambutan hari raya boleh digunakan untuk aktiviti dan program lain yang lebih membawa makna dan faedah pada rakyat serta negara.
Tindakan untuk tidak menganjurkan rumah terbuka dan sambutan hari raya ini juga boleh menjadi contoh teladan yang baik kepada rakyat untuk mengamalkan sikap berjimat cermat serta tidak boros dalam berbelanja.
Budaya berjimat cermat dan tidak boros harus diamalkan pada setiap masa. Setiap jabatan dan agensi kerajaan harus mengambil serius terhadap perkara ini kerana mereka menggunakan wang rakyat untuk menjalankan operasi.
Duit rakyat harus dijaga dengan baik. Tidak boleh ada sebarang kecuaian dan pembaziran dalam membelanjakan setiap sen duit rakyat.-UTUSAN
PROFESOR DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)