PIHAK Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM) menyatakan sokongan penuh kepada fatwa rasmi oleh Jawatankuasa Ijtihad dan Fatwa, Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia (KUMS).
Fatwa itu mengandungi beberapa penegasan kewajipan dan larangan kepada umat Islam serta negara-negara Islam mengenai tanggungjawab bersama bagi membela nasib rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat yang sedang teruk menderita peperangan genosid serta pembersihan etnik di tangan rejim Israel dan Amerika Syarikat (AS).
Jelas Israel dan AS tidak mempunyai sebarang niat langsung ke arah keamanan dan mengembalikan keadilan kepada rakyat Palestin tetapi mempunyai niat jahat untuk mengulangi sekali lagi proses Nakba 1948 atau pengusiran etnik rakyat Palestin secara total dari tanah air mereka dan menjayakan agenda Erez Israel atau Greater Israel.
Umat Islam tidak boleh membenarkan perkara ini berlaku. Kita tidak wajar berpeluk tubuh dan mengambil sikap berkecuali atau pasif. Membenarkan rakyat Gaza disembelih dan diusir ertinya menyerahkan Masjid al-Aqsa ke tangan Israel untuk dirobohkan dan diganti dengan pembinaan Kuil Solomon, satu agenda jahat Israel yang telah lama diidamkan mereka.
Maka, 15 tuntutan yang terkandung dalam risalah fatwa pihak KUMS ini perlu difahami dan diikuti seluruh umat serta negara Islam demi menjaga akidah juga kemaslahatan ummah keseluruhannya.
Rakyat harus menyedari fatwa itu bukan hanya terpakai atas individu, malah kepada masyarakat dan negara. Oleh itu, pihak HIKAM menyeru pihak kerajaan dan agensi-agensinya yang terlibat, pihak swasta, pertubuhan kemanusiaan dan agama, media sosial serta seluruh rakyat Malaysia untuk mengkaji serta menghayati isi kandungan fatwa tersebut.
Semua pihak harus memahami segala pelaksanaan yang dinyatakan dalam fatwa perlulah mengambil kira pendekatan yang digariskan oleh pihak pemerintah (atau ulil amri), kemampuan diri dan menurut undang-undang negara. Oleh itu, pematuhannya berbeza dan bergantung kepada syarat-syarat tertentu.
Beberapa saranan yang dicadangkan sudah pun terlaksana dengan baik. Contohnya, pemboikotan ekonomi dengan syarikat-syarikat yang menyumbang kepada ekonomi Israel secara langsung atau tidak langsung. Usaha sedemikian perlulah dilipatgandakan di peringkat individu, organisasi mahupun kerajaan.
Bagi individu Muslim, kita hendaklah mempertingkatkan usaha untuk membantu Palestin. Sebagai contoh yang diberikan dalam fatwa tersebut, memperbanyak doa dalam solat wajib atau sunat. Begitu juga dengan menggiatkan bantuan kewangan, makanan, minuman dan perubatan.
HIKAM menyeru semua pihak agar kesedaran tentang nasib malang rakyat di Palestin disebarluaskan juga dalam kalangan rakyat bukan Islam di Malaysia. Ini agar sokongan rakyat terhadap langkah-langkah yang diambil pihak kerajaan dalam isu Palestin difahami oleh semua dan tidak menimbulkan silap faham serta perbalahan.
Hakikatnya, isu Palestin lebih daripada perkara tentang urusan orang Islam semata-mata, tetapi dalam sudut lebih besar melibatkan pencabulan dan penafian hak asasi kemanusiaan serta kempen genosid abad ke-21.
Semoga kefahaman yang meluas serta betul tentang fatwa KUMS dapat mencetuskan gelombang kesedaran dan tindakan yang positif dalam kalangan rakyat Malaysia ke arah pembebasan rakyat Palestin daripada cengkaman rejim Israel dan konco-konconya.-UTUSAN
HIMPUNAN GERAKAN ISLAM MALAYSIA (HIKAM)
Seri Kembangan, Selangor