Pelihara habitat semula jadi kelip-kelip

Pelihara habitat semula jadi kelip-kelip

SANTUARI Kelip-Kelip Kampung Yak Yah bukan sahaja simbol pemeliharaan alam sekitar tetapi peluang untuk menjana ekonomi komuniti setempat melalui pelancongan lestari.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERASMIAN Santuari Kelip-Kelip Kampung Yak Yah telah berlangsung di Kemaman, Terengganu baru-baru ini. Pembangunan projek ini bagi tujuan pemuliharaan, restorasi dan rehabilitasi habitat kritikal untuk kelangsungan populasi kelip-kelip di ekosistem Sungai Chukai.

Projek ini dilaksanakan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Program Pemuliharaan Landskap, Jabatan Landskap Negara (JLN) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kemaman (MPK).

Ia dibangunkan berdasarkan dapatan kajian menyeluruh oleh kumpulan pakar merangkumi arkitek landskap, pakar entomologi (kelip-kelip), jurutera serta ahli profesional berkaitan demi menjamin keseimbangan antara keperluan ekologi, teknikal dan aspek pelancongan lestari.

Santuari ini diiktiraf sebagai salah satu lokasi kelip-kelip terunggul di Malaysia, khususnya sebagai habitat semula jadi spesies Pteroptyx tener, iaitu sejenis kelip-kelip unik yang berkeupayaan berkelip secara serentak, menjadikan fenomena ini amat jarang ditemui dan menjadi tarikan kepada peminat alam semula jadi serta ekopelancongan.

Santuari Kelip-Kelip Kampung Yak Yah bukan sahaja simbol pemeliharaan alam sekitar, tetapi juga peluang untuk menjana ekonomi komuniti setempat melalui pelancongan lestari. Usaha ini seharusnya dijadikan contoh bagaimana keindahan landskap semula jadi boleh dimanfaatkan secara bertanggungjawab oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Bagi menyokong usaha pemuliharaan habitat kelip-kelip ini, sejumlah 200 pokok bakau, 2,000 pokok berembang dan 500 pokok nipah ditanam sepanjang Sungai Chukai. Projek ini turut menyediakan pelbagai kemudahan kepada pengunjung seperti jeti pelawat, pusat informasi dan perkhidmatan bot menyusuri sungai bagi menyaksikan keindahan kelip-kelip pada waktu malam.

Selain menjadi destinasi pelancongan, santuari ini juga berfungsi sebagai platform untuk penyelidikan, pendidikan alam sekitar dan aktiviti sukarelawan pemuliharaan. Pelancaran projek ini merupakan sebahagian daripada inisiatif KPKT melalui JLN untuk memelihara kawasan ekosistem penting dan memperkenalkan Terengganu sebagai destinasi pelancongan berasaskan alam sekitar bertaraf antarabangsa.-UTUSAN

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya