Hukum kisas noktah kes penderaan kanak-kanak?

Hukum kisas noktah kes penderaan kanak-kanak?

KES penderaan terhadap kanak-kanak semakin hari semakin membimbangkan dan memerlukan satu bentuk hukuman yang tegas kepada pelaku agar menjadi pengajaran kepada orang lain.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KES penderaan terhadap kanak-kanak semakin hari semakin membimbangkan. Lebih menyedihkan apabila melibatkan ibu kandung sebagai pelaku. Seorang wanita sepatutnya menjadi tempat berlindung yang paling selamat bagi anak-anak, namun segelintir ibu mengkhianati kepercayaan ini dengan menjadi pemangsa kepada darah daging sendiri.

Kisah seorang anak berusia 10 tahun yang disiram dengan air panas oleh ibu kandungnya menggemparkan seluruh negara. Kejadian itu bukan sahaja menyayat hati tetapi juga menimbulkan persoalan besar tentang nilai kemanusiaan yang semakin terhakis dalam masyarakat hari ini.

Kanak-kanak malang itu bukan sahaja mengalami kesakitan fizikal yang amat perit, tetapi juga trauma psikologi yang mendalam. Pada usia yang masih mentah, anak sepatutnya berada di bawah jagaan kasih sayang, bukan dalam ketakutan dan penderitaan. Kes seperti ini menunjukkan hukuman sedia ada mungkin belum cukup untuk memberi kesedaran dan keinsafan kepada pelaku.

Isu ini membuka ruang perbahasan tentang keperluan hukuman tambahan seperti kisas dalam sistem perundangan negara.

Pendapat umum mengenai pelaksanaan hukum kisas di Malaysia masih bercampur baur. Ada yang melihatnya sebagai kejam dan melanggar hak asasi manusia, namun ada juga yang berpendapat cara ini dapat membendung jenayah yang semakin menjadi-jadi.

Dalam konteks penderaan oleh ibu kandung sendiri, kisas dilihat sebagai satu bentuk keadilan yang memberi suara kepada mangsa. Masyarakat sudah terlalu biasa dengan laporan penderaan, namun tiada perubahan ketara dalam statistik dan sikap pelaku. Sesuatu yang lebih drastik mungkin perlu dipertimbangkan.

Namun begitu, pelaksanaan hukum kisas memerlukan perbincangan yang teliti dan terperinci daripada pelbagai aspek termasuk undang-undang, perlembagaan, keadilan sosial dan hak asasi manusia.

Malaysia sebagai negara berbilang kaum dan agama mempunyai kerangka undang-undang yang perlu dipatuhi. Justeru, sebarang pelaksanaan hukum yang berteraskan syariah seperti kisas perlulah melalui proses legislasi yang telus dan menyeluruh.

Dalam masa sama, masyarakat juga perlu memainkan peranan yang lebih proaktif dalam membendung penderaan kanak-kanak. Melaporkan sebarang tanda penderaan, menyokong institusi perlindungan kanak-kanak dan memberikan pendidikan keibubapaan adalah antara langkah pencegahan yang boleh dilaksanakan. Sistem sokongan seperti kaunseling, pusat perlindungan sementara dan program pemulihan juga perlu diperluas agar mangsa tidak terus terperangkap dalam kitaran penderaan.

Apa pun hukuman yang dijatuhkan ke atas pelaku, yang paling penting ialah memastikan keselamatan dan pemulihan mangsa. Kanak-kanak yang didera memerlukan rawatan rapi bukan sahaja dari segi fizikal, tetapi juga emosi dan mental.

Mereka perlu dibimbing dan disokong agar tidak membesar dengan luka jiwa yang dalam. Negara juga perlu mengiktiraf setiap kanak-kanak berhak mendapat perlindungan yang maksimum daripada sebarang bentuk keganasan, tidak kira siapapun pelakunya, termasuk ibu kandung sendiri.-UTUSAN

MINHAT DAUD
Parit Sulong

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya