Rangkaian 5G: Kenapa U Mobile?

Rangkaian 5G: Kenapa U Mobile?

U mobile
Foto AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Parti Sosialis Malaysia melihat penganugerahan kontrak rangkaian 5G kedua Malaysia kepada U  Mobile Sdn Bhd sebagai suatu langkah yang mencurigakan. Terdapat beberapa persoalan terbuka
yang mungkin menggambarkan langkah ini atas sebab hendak memanfaatkan kroni kerajaan MADANI.

Persoalan-persoalan ini adalah seperti berikut:
1. Adakah justifikasi penganugerahan kontrak ini kepada U Mobile memadai? Berbanding syarikat telekomunikasi gergasi lain seperti Maxis serta CelcomDigi, U Mobile tidak begitu berpengalaman. Maxis dan CelcomDigi ada pengalaman membina rangkaian tersendiri di seluruh Malaysia manakala U Mobile beroperasi secara Mobile Virtual Network Operator (MVNO) yang bergantung kepada infrastruktur berkongsi.

Dalam pada ini, bagaimanakah suatu syarikat sebegini dapat melaksanakan tanggungjawab membina rangkaian 5G ini? Pihak SKMM telah mengeluarkan suatu kenyataan baru-baru ini dengan justifikasi mereka atas pilihan ini. Dikatakan kadar kepuasan pelanggan serta kadar aduan diterima untuk U Mobile menjadi antara faktor utama syarikat ini dipilih.

Selain ini, prestasi U Mobile dalam pengimplementasian beberapa projek infrastruktur seperti Jendela Fasa 1 juga diambil kira.

Akan tetapi, menurut laporan “Mobile Network Experience Report” oleh OpenSignal, prestasi Celcom, DiGi dan Maxis seakan-akan lebih menarik berbanding U Mobile.

Tren yang sama dilihat dalam laporan “Benchmarking Malaysia’s top 8 telcos on customer experience” oleh Twimbit, di mana ketiga-tiga syarikat yang sama mendapat penilaian lebih tinggi dalam
kadar kepuasan pelanggan.

Kenyataan SKMM jugamenyatakan U Mobile dibenarkan berkolaborasi dengan pengendali rangkaian mudah alih (Mobile Network Operator, MNO) lain dalam implementasi rangkaian ini.

Adakah kenyataan ini menggambarkan U Mobile sebagai kontraktor utama yang akan mengeluarkan subkontrak kepada syarikat lain?

2. Daripada persoalan di atas, kami ingin tanya, adakah penganugerahan kontrak ini atas sebab nilai tender daripada pihak U Mobile terendah? Jikalau model subkontrak digunakan seperti di atas, adakah ini bermaksud nilai subkontrak ini juga akan lebih rendah? Akankah kualiti pengeluaran terjejas akibat model ini dan apakah penglibatan U Mobile selain kontraktor utama yang mengaut keuntungan sahaja?

3. Lebih penting, apakah model pemilikan dan kawalan bagi rangkaian 5G kedua ini? Adakah kuasa lebih diberi kepada pihak swasta? Bagaimana pula dengan Digital Nasional Berhad (DNB), syarikat kenderaan tujuan khas dimiliki oleh Kementerian Digital yang juga ditubuhkan untuk mewujudkan rangkaian 5G? Adakah syarikat yang dimiliki kerajaan Malaysia akan dianak-tirikan untuk memperkasa syarikat swasta?

4. Juga dikhuatiri, baru-baru ini, dikhabarkan U Mobile akan mengumumkan tawaran awam permulaan (Initial Public Offering, IPO) dalam masa terdekat. Penganugerahan kontrak ini berpotensi meningkatkan harga saham U Mobile dalam pada adanya pelbagai persoalan yang masih terbuka.

Semua persoalan di atas timbul akibat ketidaktelusan urusan penganugerahan ini. Dalam pandangan PSM, ini adalah suatu perkara yang tidak menyenangkan dan semua kerja yang kini diluluskan berkaitan tender ini perlu diberhentikan sehingga langkah-langkah di bawah dilaksanakan.

1. Maklumat penuh tender serta kontrak perlu didedahkan secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia

2. Justifikasi pemilihan U Mobile perlu diberi oleh SKMM secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia secara terperinci

3. Sebelum pelaksanaan kontrak ini, butiran-butiran di atas perlu didebat di Parlimen

4. Jikalau model pemilikan dan kawalan atas rangkaian 5G ini memberi kuasa kepada sektor swasta, model ini perlu ditukar kepada suatu yang memastikan kerajaan ada kuasa penuh dengan kebebasan maklumat ke Parlimen

Pada zaman ini, telekomunikasi bukan sekadar kemewahan, tetapi keperluan setiap individu. Atas sebab ini, status akses kepada teknologi telekomunikasi harus ditingkatkan sebagai hak asasi setiap warga Malaysia.

Kerajaan MADANI harus mengambil tanggungjawab menyempurnakan hak ini secara perkhidmatan awam, bukannya menghalalkan model yang hanya mengkayakan sang
kapitalis.

Arveent Kathirtchelvan

Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya