Wakaf korporat tegakkan keadilan sosial

Wakaf korporat tegakkan keadilan sosial

KONSEP wakaf korporat dapat mengurangkan jurang kekayaan amat wajar diterapkan sebagai benteng kepada penjajahan alaf baharu iaitu kuasa ekonomi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

INISIATIF kerajaan menerapkan konsep wakaf sebagai nadi penggerak ekonomi, susulan penubuhan Tabung Wakaf Mara Madani yang dilancarkan Perdana Menteri pada Mac lalu, dengan suntikan dana berjumlah RM100 juta bertindak sebagai pemacu untuk mencapai sasaran dana terkumpul sebanyak RM1 bilion dalam tempoh dua tahun.

Perdana Menteri juga memberi penekanan terhadap peranan wakaf dalam pembangunan negara. Wakaf bukan sahaja merupakan ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah yang menjanjikan ganjaran pahala berkekalan, tetapi juga merupakan jalan menuju kemakmuran Malaysia demi kepentingan generasi akan datang tanpa mengira bangsa dan agama.

Oleh itu, umat Islam wajib berada pada kedudukan lebih tinggi dan mempunyai kuasa dalam politik serta perniagaan yang menguntungkan. Usaha ini penting supaya kita dapat mengatasi segala cabaran dan rintangan yang telah lama melemahkan ummah, selain mengembalikan Islam sebagai kuasa kontemporari peradaban.

Ketidaksamaan dan ketidakadilan ekonomi semakin berleluasa, hasil daripada ekonomi global yang dibina berabad lamanya atas kehendak kapitalis yang juga mempunyai kaitan dengan penjajahan pada masa lalu.

Konsep wakaf yang dikendalikan secara profesional dapat memajukan golongan terbawah dalam piramid ekonomi melalui usaha gigih dan ketekunan, dengan matlamat utama mempromosikan kepelbagaian, mengurangkan jurang ekonomi dan menegakkan keadilan melalui penyatuan nilai-nilai Islam seperti adil, amanah, dan khilafah secara inovatif dalam tadbir urus korporat.

Justeru, konsep Wakaf Korporat sebagai institusi strategik dapat mengurangkan jurang kekayaan amat wajar diterapkan sebagai benteng kepada penjajahan alaf baharu iaitu kuasa ekonomi. 

Wakaf Korporat adalah institusi hibrid yang menggabungkan kekuatan perniagaan dan wakaf, menjadikan perniagaan dominan dan wakaf sebagai institusi Islam yang luhur. Kombinasi ini mampu mewujudkan pertumbuhan ekonomi yang mampan dengan meletakkan kepercayaan kepada tadbir urus korporat untuk menjalankan amanah perniagaan.

Pada masa yang sama, pemilikan wakaf meletakkan kepentingan ummah mengatasi kepentingan peribadi. Rakyat pada awalnya melihat wakaf sebagai pemberian untuk tujuan keagamaan dan kebajikan semata-mata, sedangkan ia memainkan peranan yang lebih luas.

Banyak hospital dan universiti, seperti Universiti Al-Azhar yang terkenal di Kaherah, digerakkan melalui wakaf. Jalan-jalan umum, jalan raya, jambatan, dan juga caravanserai (setara dengan pelabuhan darat yang menyediakan perkhidmatan perdagangan Laluan Sutera) serta pasar-pasar dan bandar-bandar turut dibangunkan dan dibiayai melalui wakaf. 

Dari abad ke abad, wakaf memenuhi spektrum keperluan masyarakat secara meluas, termasuklah perlindungan flora dan fauna. Ini membuktikan bahawa wakaf, jika ditadbir urus dengan baik, akan memberi impak ekonomi yang positif kepada ummah serta generasi seterusnya.

Ini menggambarkan peranan wakaf sebagai satu konsep yang menyeluruh dan harus diterapkan dalam bidang perniagaan dan korporat. 

Di Malaysia, sudah ada AWQAF Holdings Berhad (AWQAF), yang ditubuhkan Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), mencatatkan sumbangan wakaf yang diterima daripada lebih 3,000 ahli aktif. 

Peranan korporat dalam memberi dan mengambil berat bersifat revolusioner, memandangkan ia dapat mengekalkan penghasilan aliran pendapatan dan sumber  daya (ain). Manfaat wakaf turut dapat diperluaskan dan akhirnya memberi impak besar kepada pemberi untuk terus berwakaf.

Wakaf korporat dapat berfungsi sebagai perisai institusi yang kukuh untuk melindungi dan memelihara aset negara bagi menjamin kesejahteraan ekonomi generasi masa depan.-UTUSAN

 

DATUK MOHAMMAD SAHAR MAT DIN

Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya