SESUATU yang tidak pelik untuk pengguna melihat saban hari adalah amalan melanggar lampu isyarat berwarna merah. Perbuatan ini dilihat sudah menjadi perkara biasa lagi-lagi dalam penunggang motosikal.
Tanpa mengira siapa penunggang motosikal tersebut, sama ada lelaki atau wanita, semuanya mahu cepat sehingga tidak boleh menunggu seketika bagi memberi laluan kepada kenderaan dari arah yang lain.
Risau melihat apabila seorang bapa yang membawa anaknya menunggang motosikal tanpa rasa bersalah melanggar peraturan jalan raya. Selain perbuatan itu boleh membahayakan nyawa penunggang dan anaknya tetapi yang paling kita risaukan adalah tindakan yang dianggap kecil itu membentuk sikap anak-anaknya apabila besar nanti.
Jadi, apa gunanya kerajaan berbelanjakan wang untuk menyediakan infrastruktur itu sedangkan rakyatnya tidak menghargai usaha yang dilakukan bagi mengelakkan penambahan kadar kemalangan di jalan raya?
Bahkan, tindakan mereka itu sebenarnya menyusahkan pengguna lain kerana mereka perlu melihat setiap jalan sebelum menyambung perjalanan di persimpangan.
Paling kasihan kepada pejalan kaki di lintasan kuning yang juga terpaksa berhati-hati kerana sangat susah untuk berjumpa pengguna jalan raya yang sanggup berhenti di lampu merah. Apalah salahnya tunggu sekejap daripada membahayakan nyawa sendiri dan orang lain?
Walaupun banyak kes yang serupa tukar, namun pengguna tidak pernah mengambil pengajaran dan tidak serik.
Tiba masa untuk pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk bersikap lebih tegas kerana ia sudah menjadi budaya yang amat susah untuk dikikis. – UTUSAN
PEMERHATI
Kuala Lumpur