SAUDARA PENGARANG,
DALAM konteks peningkatan gaji penjawat awam yang diumumkan baru-baru ini, terdapat tanggungjawab besar dalam memperbaiki mutu perkhidmatan yang disediakan.
Sering kali kita mendengar rungutan tentang penjawat awam yang kurang memahami erti sebenar peningkatan kualiti perkhidmatan. Kebiasaannya, mereka ini melakukan kerja sekadar melepaskan batok di tangga dan lebih cenderung mengambil masa rehat yang lebih.
Selain itu, keengganan untuk melakukan pembaharuan dalam prosedur kerja begitu ketara. Alasan yang diberikan tidak masuk akal, seperti ketiadaan individu yang bertanggungjawab untuk menandatangani dokumen atau berlakunya lambakan permohonan dan sebagainya. Alasan yang seumpama ini menunjukkan ketidakcekapan yang serius dalam pengurusan dan pemprosesan tugasan yang boleh menjejaskan persepsi awam terhadap sektor kerajaan.
Contoh lain yang boleh diberikan adalah ramai pegawai pendidikan yang pergi ke sekolah tanpa persediaan atau idea yang jelas tentang apa yang perlu dilakukan. Mereka sering kali mengeluarkan arahan yang umum dan tidak spesifik, yang menambahkan beban kepada guru.
Guru pula, dalam beberapa kes, memasuki kelas untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) tanpa persediaan yang mencukupi. Golongan ini tidak menyedari bahawa tindakan mereka itu akan diperkatakan oleh pelajar sampai bila-bila.
Untuk mengatasi kelemahan ini, cadangan yang berikut boleh dipertimbangkan:
-Penjawat awam harus dinilai berdasarkan prestasi kerja secara berkala. Penilaian ini harus merangkumi aspek kecekapan, keberkesanan dan kepuasan pelanggan. Mereka yang menunjukkan prestasi yang cemerlang harus diberi pengiktirafan, manakala yang kurang harus diberi bimbingan atau latihan tambahan.
-Memperkenalkan teknologi terkini dalam semua aspek kerja untuk mempermudah dan mempercepat proses-proses yang ada. Ini termasuklah digitalisasi dokumen dan penggunaan platform dalam talian untuk memudahkan urusan rakyat dengan sektor kerajaan.
-Penjawat awam harus diberi latihan yang berterusan untuk membaharui dan meningkatkan kemahiran. Latihan ini harus selaras dengan keperluan semasa dan masa depan, termasuk keupayaan untuk beradaptasi dengan perubahan dalam teknologi mahupun metodologi kerja.
-Meningkatkan komunikasi antara penjawat awam dengan masyarakat umum dalam memastikan maklumat mengenai prosedur dan keperluan jelas setra mudah diakses.
-Menggalakkan budaya kerja yang lebih berfokus kepada hasil dan bukan sekadar prosedur. Ini akan membantu mengurangkan birokrasi yang tidak perlu dan meningkatkan kepuasan pelanggan.-UTUSAN
AZIZUL RAHMAN ABDUL RAHMAN
Tokoh Guru Kebangsan