SAUDARA PENGARANG,
KITA sekali lagi digemparkan dengan pengisytiharan kecemasan kesihatan global berikutan wabak cacar monyet (Mpox) oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 14 Ogos lalu.
Di Malaysia, walaupun kes masih terkawal, kita tidak seharusnya memandang ringan situasi ini.
Mpox adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus monkeypox dari kumpulan Orthopoxvirus. Secara amnya, penyakit ini boleh menjangkiti sesiapa sahaja, tanpa mengira orientasi seksual, walaupun data semasa menunjukkan kadar jangkitan lebih tinggi dalam kalangan lelaki yang melakukan hubungan tubuh dengan sejenis.
Gejala Mpox termasuklah demam, sakit kepala, sakit otot, keletihan dan ruam atau luka pada kulit. Walaupun kebanyakan individu pulih tanpa rawatan, Mpox boleh membawa komplikasi serius dan mengancam nyawa, terutamanya bagi golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, wanita hamil dan individu dengan sistem imuniti yang lemah.
Mpox boleh merebak melalui pelbagai cara dan kaedah, termasuklah sentuhan dengan cecair badan atau luka individu yang dijangkiti. Contohnya sentuhan dengan ruam, keruping, atau luka pada kulit. Ia juga boleh merebak melalui sentuhan dengan objek atau permukaan yang tercemar, kerana virus ini mampu bertahan pada objek atau permukaan untuk jangka masa panjang. Titisan pernafasan yang terhasil melalui batuk atau bersin seseorang yang dijangkiti juga mampu menyebarkan virus ini. Sebagaimana virus HIV, Mpox juga boleh merebak melalui hubungan seksual.
Buat masa ini, tiada rawatan khusus. Kebanyakan pesakit akan sembuh tanpa memerlukan apa-apa rawatan, namun rawatan simptomatik boleh diberikan, jika perlu, untuk mengurangkan gejala dan mencegah komplikasi kepada pesakit yang mempunyai risiko kesihatan lain.
Dalam kes-kes yang serius, ubat antivirus seperti tecovirimat boleh digunakan. Melalui garis panduan yang dikeluarkan oleh WHO dan KKM, vaksin cacar (smallpox) juga terbukti berkesan dan boleh diberikan kepada individu yang berisiko tinggi. Terdapat dua vaksin utama iaitu Jynneos (juga dikenali sebagai Imvamune atau Imvanex) dan ACAM2000.
Selain tidak panik, langkah-langkah pencegahan perlu diterapkan. Ini termasuklah mengamalkan kebersihan diri yang baik, mengelakkan sentuhan dengan orang yang dijangkiti dan menunjukkan simptom, mengelakkan berkongsi barangan peribadi dan mengamalkan hubungan seks selamat.
Rakyat Malaysia yang merancang untuk melawat negara-negara yang terjejas oleh wabak Mpox, seperti Thailand, dinasihatkan untuk mendapatkan vaksin terlebih dahulu bagi melindungi diri mereka daripada jangkitan.
Wabak Mpox adalah ancaman kesihatan global yang perlu ditangani dengan serius. Walaupun risiko di Malaysia masih rendah, kita perlu sentiasa berwaspada dan mengambil langkah-langkah pencegahan yang sewajarnya dari awal. Dengan kerjasama rapat semua pihak, kita dapat melindungi diri dan orang lain.-UTUSAN
DR. JASMINE ELANIE KHAIRAT
Penyelidik bidang virologi dan Pensyarah Kanan di Institut Sains Biologi Universiti Malaya