SAUDARA PENGARANG,
TRADISI yang menjadi kegembiraan kanak-kanak pada Hari Raya Aidilfitri adalah menerima duit raya. Tradisi ini bukan sahaja memperkukuhkan ikatan sosial antara anggota keluarga dan masyarakat, tetapi juga memberi peluang untuk mengajar nilai kewangan kepada anak-anak.
Menghulur duit raya tidak hanya tentang memberi, tetapi juga tentang membimbing mereka untuk memanfaatkannya secara bijak. Salah satu kebaikannya ialah dapat mengajar mereka tentang nilai simpanan dan tabungan. Melalui aktiviti menabung, kanak-kanak belajar untuk menghargai setiap sen yang mereka peroleh dan menyimpannya untuk masa hadapan.
Selain itu, duit yang diperoleh boleh digunakan untuk membeli bahan sokongan pendidikan. Anak-anak boleh menggunakan wang tersebut untuk membeli buku sekolah, alat tulis atau mungkin mengikuti kursus tambahan yang dapat meningkatkan pengetahuan. Ini membantu mereka memahami bahawa wang bukan hanya untuk keseronokan semata-mata, tetapi juga untuk meningkatkan pembangunan diri dan pendidikan.
Bagi ibu bapa dan penjaga, penting untuk membimbing anak-anak tentang pengurusan wang dan nilai-nilai kewangan yang baik sejak dari usia muda. Mereka boleh mendedahkan anak-anak tentang perbelanjaan wang dengan bijak. Jadi, anak-anak memahami yang wang tersebut perlu digunakan dengan berhemat dan bertanggungjawab.
Di samping itu, pihak sekolah boleh juga mengambil inisiatif membantu pelajar memanfaatkan duit raya dengan baik. Salah satu cara dengan mengatur program bersama pihak bank atau institusi kewangan untuk menyediakan perkhidmatan menabung di sekolah.
Gunakan juga kesempatan ini untuk mendedahkan anak-anak memahami konsep kebajikan sosial dengan memberi sedekah kepada orang yang kurang bernasib baik. Kanak-kanak akan faham masa yang sesuai untuk menyalurkan wang kepada mereka yang memerlukan.
Dengan bimbingan yang sewajarnya, anak-anak dapat memanfaatkan duit raya dengan bijak agar tidak dibazirkan dengan membeli sesuatu yang tidak memberikan manfaat.-UTUSAN
AZIZUL RAHMAN ABDUL RAHMAN
Konsultan Program Sekolah Irfan
Yayasan Pahang