ADUAN kes penyakit otot rangka selepas sambutan Aidilfitri kerap dilaporkan. Budaya bertukar juadah dan kunjung-mengunjung ke rumah saudara-mara menuntut kita untuk menyediakan juadah yang lebih banyak dari kebiasaan sehingga ada yang sanggup bersengkang mata untuk membuat persediaan.
Majoriti ahli keluarga akan bergotong-royong menyediakan juadah untuk dinikmati di pagi raya dan juga bagi dihantar ke rumah jiran tetangga. Ini menjadikan penyediaan makanan perayaan tersebut bukanlah satu proses yang mudah. Ia mengambil masa yang lama sehingga boleh meningkatkan tekanan kepada sistem otot rangka.
Ini kerana daya tekanan yang kuat diperlukan untuk memasak dan mengacau juadah terutama jika menggunakan kawah yang besar.
Isu ini juga merupakan salah satu punca yang boleh menyebabkan ketegangan otot. Malah jika kekurangan waktu tidur, ditambah pula masih berpuasa, risiko kemalangan adalah tinggi kerana keletihan dan juga kekurangan cecair dalam badan.
Apatah lagi jika terlibat dalam kesesakan lalu lintas dengan tempoh masa berada dalam kenderaan menjadi lebih panjang dari sepatutnya. Keadaan tersebut bukan sahaja boleh menyebabkan tekanan kepada otot rangka tetapi boleh juga menyebabkan tekanan perasaan sehingga mengganggu sistem imunisasi seterusnya menyebabkan keradangan pada anggota badan.
Pemakaian busana perayaan yang mempunyai pelbagai rekaan kadang-kala menyebabkan seseorang itu sukar untuk bergerak bebas dan seterusnya menjadikan postur duduk dan berdiri boleh jadi terbatas.
Ditambah busana perayaan selalu diragakan dengan kasut bertumit tinggi. Penggunaan kasut bertumit tinggi juga adalah kurang sihat bagi jangka masa yang panjang.
Begitu juga ketika membuat perancangan memasak. Bahan yang diperlukan dan persediaan bahan-bahan asas boleh dimulakan lebih awal secara sedikit demi sedikit.
Ramuan dan rempah ratus boleh diproses dan disimpan di peti sejuk sementara protein seperti ayam dan daging boleh dibersihkan dan dipotong lalu disimpan mengikut keperluan untuk sesuatu juadah supaya ketika memasak semuanya menjadi mudah. Jika memasak menggunakan kawah, boleh menggunakan sistem gotong royong berkongsi beban bersama.
Jika persediaan lebih awal dapat dirancang dan dilaksanakan dengan berbahagi tugas, maka pola tidur dapat dijaga dengan baik.
Walaupun seronok berkumpul dengan kaum keluarga, waktu tidur tetap harus dijaga kerana semakin ramai ahli keluarga berkumpul, semakin banyak aktiviti fizikal yang dilakukan sehingga waktu rehat boleh jadi tiada dan semakin singkat.
Dalam suasana Hari Raya Aidilfitri ini, pilih busana yang selesa ketika berkunjung ke rumah terbuka atau jamuan raya sesuai dengan cuaca semasa dan ringkas.
Elak pemakaian kasut bertumit tinggi dan gantikan dengan kasut yang lebih praktikal untuk aktiviti ziarah menziarahi di hari perayaan. Walaupun ia bukan fesyen terkini, tetapi jika kekemasan dijaga, busana yang ringkas boleh menjadi sangat cantik untuk digayakan oleh tubuh badan yang sihat.
Kesimpulannya, kekallah sihat dan selamat ketika bergembira di hari raya. Jika anda mengalami gejala sakit otot rangka, sila dapatkan rawatan dengan kadar segera. Intervensi awalan selalunya menyelamatkan dari penyakit kronik yang menjadikan anda tidak bermaya.-UTUSAN
PROF. MADYA DR. EZRIN HANI SUKADARIN dan DR. NURRUL HAFEEZAH SAHAK
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)