Kita perlu pastikan kebebasan akademik wujud dalam negara

Kita perlu pastikan kebebasan akademik wujud dalam negara

ADALAH penting supaya pimpinan kerajaan memberi satu jaminan kepada semua pihak bahawa kebebasan akademik dalam negara kita dapat dijamin serta akan ditambah baik dari semasa ke semasa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

ISU kebebasan akademik sudah lama diperkatakan dalam negara kita. Rata-rata golongan pelajar serta ahli akademik sentiasa dahagakan kebebasan akademik. Dengan ada perkara ini, banyak perkara dapat dilakukan bagi memajukan masyarakat dan negara terutamanya dari aspek untuk bersuara dan meluahkan pendapat yang membina tanpa rasa takut dan bimbang dikenakan tindakan disiplin atau sebarang hukuman.

Langkah untuk mewujudkan kebebasan akademik ini diambil oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas mereka memenangi Pilihan Raya Umum Kali Ke-14 (PRU14) pada 2018 dengan melakukan proses pindaan terhadap beberapa peruntukan undang-undang.

Jika kita masih ingat, pada penghujung 2018, beberapa usaha pindaan dilakukan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 (Akta 30) untuk membenarkan mahasiswa aktif berpolitik dan untuk tampil berani bersuara.

Namun kita tidak seharusnya lupa bahawasanya masih terdapat banyak lagi langkah yang perlu diambil bagi memantapkan lagi kebebasan akademik dalam negara kita. Baru-baru ini terdapat cadangan dari sesetengah pihak untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 (Akta 30) itu sendiri.

Isu untuk memansuhkan akta itu sentiasa mendapat tempat dalam negara. Walaupun usaha penambahbaikan melalui beberapa pindaan sudah banyak kali dilakukan namun masih terdapat pihak yang mahukan akta ini dimansuhkan sepenuhnya.

Oleh itu, pihak kerajaan harus berjumpa dengan pihak-pihak yang berkaitan khususnya dengan kumpulan pelajar yang ingin akta ini dimansuhkan bagi mendengar kebimbangan dan keluhan sebenar mereka.

Bagi memantapkan lagi kebebasan akademik dalam negara kita, pihak kerajaan juga harus melihat semula semua undang-undang lapok lain yang sudah lama digunapakai termasuk semua jenis undang-undang sedia ada yang dilihat boleh menghalang seseorang itu untuk mengeluarkan pandangan kritis serta pendapat yang membina seperti Akta Hasutan 1948 (Akta 15).

Pihak kerajaan harus tampil turun padang serta mendengar luahan perasaan pelajar serta ahli akademik mengenai perkara ini, menilai setiap luahan yang telah diberikan oleh pelajar dan ahli akademik serta mengambil segala langkah yang perlu untuk melakukan proses penambahbaikan terhadap mana-mana perkara yang difikirkan perlu.

Adalah penting supaya pimpinan kerajaan memberi satu jaminan kepada semua pihak bahawa kebebasan akademik dalam negara dapat dijamin serta akan ditambah baik dari semasa ke semasa.

Segala perbezaan pandangan atau pendapat yang wujud perlu dilakukan melalui proses perbincangan dan debat secara ilmiah dan bukannya melalui proses perundangan dan hukuman.-UTUSAN

PROFESOR. MADYA DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN