SAUDARA PENGARANG,
UMAT Islam di Malaysia dan seluruh dunia kini sudah memasuki persiapan akhir menyambut ketibaan 1 Syawal 1445H dengan kebanyakan keperluan sudah banyak yang selesai dan dimuktamadkan.
Dalam keterujaan menanti kedatangan Syawal, kita seharusnya tidak melupakan juga akan kehilangan Ramadan yang berlalu pergi. Menyambut Syawal harus disertai dengan rasa syukur, gembira dan tenang setelah melalui latihan pendidikan selama sebulan di bulan Ramadan. Aidilfitri tidak wajar hanya disinonimkan dengan kegembiraan namun harus bermuhasabah dalam diri, apakah makna keseronokan dan kegirangan hari keraian tersebut?
Allah menganugerahkan Ramadan sebagai medan tarbiyyah untuk mencari sebuah kemerdekaan dan seiring dengan mendalamnya maksud Aidilfitri iaitu kembali kepada fitrah sebenar, wajarlah ia menjadi kayu ukur untuk memulakan langkah baharu dan mengekalkan momentum yang sedia terjana dalam diri semasa berpuasa. Selari dengan firmanNya dalam surah as-Syams ayat 9 yang bermaksud :“Sesungguhnya berjayalah orang yang menyucikan jiwanya (dari belenggu nafsu).”
Ramadan yang telah dilalui wajar dijadikan pengajaran dan Syawal yang bakal dirai dilihat sebagai permulaan untuk mengekalkan momentum pelaksanaan amalan-amalan yang baik. Jika kita boleh meraih dan memelihara pahala di bulan Ramadan, maka begitulah juga di luar Ramadan. Kebajikan yang telah dilakukan tidak hanya bermusim tetapi perlu ditambah nilai agar pahalanya berterusan berganda.
Menghayati erti kemanusiaan perlu dijadikan agenda Syawal kita agar terbit rasa belas ihsan dan kebersamaan sesama insan. Kemeriahan lebaran ini perlu diisi dengan cara Islam yang diredai Allah dan bukannya terikut-ikut dengan cara yang merosakkan nilai, agama dan sensitiviti.
Semoga Aidilfitri ini dapat mencipta dan mengekalkan momentum muhasabah serta menggarap ibrah daripada bulan imtihan yang telah kita lalui. – UTUSAN
MOHD. ZAINI OTHMAN
Penolong Pendaftar di Pusat Tamhidi
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)