Ibu bapa ‘penguatkuasa’ adab dan tatasusila anak

Ibu bapa ‘penguatkuasa’ adab dan tatasusila anak

IBU bapa harus mengambil langkah penguatkuasaan adab dan akhlak dengan menanam nilai-nilai murni dalam diri anak-anak mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

ZAMAN VUCA (kemeruwapan, ketidakpastian, kerumitan dan kesamaran) yang sedang kita alami hari ini memberikan tekanan dan cabaran kepada semua pihak dalam pelbagai peringkat umur. Dalam zaman yang serba cepat, tidak menentu, kompleks dan tidak mempunyai kepastian ini menuntut perlakuan yang bijaksana dalam segala hal terutamanya dalam membentuk dan mendidik anak-anak agar mereka mampu menghadapi cabaran hidup yang semakin hebat.

Keperluan untuk menjaga adab dan tatasusila menjadi semakin kritikal. Adab dan tatasusila bukan sekadar norma masyarakat yang harus dipraktikkan, namun ia membentuk asas dalam membina masyarakat yang stabil, sejahtera dan berdaya tahan.

Dalam konteks ini, ibu bapa harus mengambil langkah yang proaktif bagi melaksanakan langkah penguatkuasaan adab dan akhlak dengan menanam nilai-nilai murni dalam diri anak-anak mereka.

Adab dan tatasusila amat berkait rapat dengan kebolehan mengurus emosi. Zaman VUCA sering kali membawa tekanan dan keadaan yang mencabar emosi. Ibu bapa perlu mengajar anak-anak untuk mengenali dan menguruskan emosi dengan baik. Amalan tatasusila yang baik dapat mengelakkan anak-anak terpengaruh dengan perkara-perkara negatif. Mereka juga akan belajar untuk menjadi individu yang sabar dan tabah dalam menghadapi ketidakpastian.

Selain itu, antara aspek penting yang perlu disuburkan dalam jiwa generasi kini adalah penghargaan terhadap orang lain. Anak-anak muda harus belajar untuk menghormati pendapat dan perasaan orang lain walaupun berbeza pendapat. Ketandusan nilai penghargaan kepada orang lain telah menyebabkan ramai individu kini menghadapi gangguan keperibadian narsistik (NPD).

Ibu bapa juga perlu memberi tumpuan kepada nilai integriti dan kejujuran. Dalam dunia yang penuh dengan informasi yang bercampur aduk, anak-anak perlu memahami betapa pentingnya integriti dalam membina kepercayaan dan reputasi.

Tuntasnya, ibu bapa selaku ‘penguatkuasa’ utama adab dan tatasusila memainkan peranan utama dalam membentuk personaliti anak-anak agar dapat menghadapi cabaran zaman VUCA. Dengan pendedahan yang betul dan bimbingan yang tepat, ibubapa dapat membantu mencorak generasi yang tidak hanya cerdik dan cekap, tetapi juga beretika dan boleh beradab.-UTUSAN

NURUL NISHA MOHD. SHAH dan MOHD. RADZMAN BASINON
UiTM Cawangan Negeri Sembilan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN