SAUDARA PENGARANG,
KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia melalui Dasar Pendidikan Digital (DPD) menzahirkan komitmen terhadap usaha memacu transformasi pendidikan digital yang mampan.
Dalam menjayakan aspirasi DPD, peranan pendidik khususnya guru muda amat signifikan. Konteks ini kerana, guru muda sering dikaitkan sebagai kelompok yang lebih mudah menerima dan membuat perubahan kepada amalan pengajaran berbanding guru senior.
Berdasarkan Tahap Kompetensi Digital Guru yang diukur KPM pada 2021 didapati hanya 6,442 daripada 297,018 orang guru atau 2.2 peratus sahaja berada pada tahap lanjutan.
Penelitian ini memaparkan penguasaan pendidik yang meliputi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai berkaitan teknologi digital berada pada tahap yang kritikal. Jadi, pengupayaan para pendidik dan pemimpin pendidikan adalah bermakna bagi melahirkan generasi fasih digital.
Sebagai kesinambungannya, guru muda boleh menampilkan teladan yang baik dalam ekosistem digital. Misalnya, dengan menerapkan komponen digital dalam kaedah perancangan bahkan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) seharian, memanfaatkan pedagogi inovatif dan melaksanakan kajian tindakan berteraskan gamifikasi.
Guru muda bertindak sebagai agen pemangkin untuk semua menguasai kemahiran digital, di samping membangunkan profesionalisme guru dan integrasi sosial.
Penekanan terhadap aspek pendidikan digital oleh guru muda dilihat selaras dengan matlamat pembangunan lestari keempat iaitu mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti dan juga matlamat ke-10 iaitu mengurangkan ketidaksamaan.
Guru muda hanya perlu diberi peluang dan sokongan untuk tampil lebih tangkas menyesuaikan diri, bertindak dalam pendekatan yang lebih bersepadu dengan mengambil kira kesalinghubungan melalui teknologi digital dan inovasi.
Guru juga perlu komited menghasilkan kandungan digital yang berkualiti. Sebagai analoginya, guru boleh mengoptimumkan penggunaan laman sosial seperti TikTok, Youtube dan Facebook sebagai wahana untuk berkongsi karya keilmuan di samping membina rangkaian di luar sempadan.
Konteks ini penting bagi pendidik bergiat aktif, menganjur dan mengambil bahagian dalam wacana intelektual, kolokium kesarjanaan dan simposium secara persidangan dalam talian atau webinar.
Atas manifestasi ini, tepatlah guru muda pemangkin untuk mentransformasikan pendidikan digital secara menyeluruh bagi melengkapkan landskap pendidikan negara.-UTUSAN
SHARRAN LOGANADZAN
Guru SJKT Pasir Gudang, Johor