SAUDARA PENGARANG,
PAHANG beri 742,387 hak milik tanah kepada pemohon – Ini adalah tajuk berita sebuah akhbar tempatan baru-baru ini yang memetik ucapan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam ucapan Belanjawan 2024 negeri berkenaan. Dalam artikel ini, Kerajaan Negeri Pahang mensasarkan peningkatan kepada sejuta kelulusan pemberian tanah dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.
Saya berpendapat, kemungkinan angka tersebut tidak begitu tepat jika artikel itu membawa maksud permohonan tanah yang diberi hak milik. Jika jumlah tersebut merujuk kepada permohonan tanah biasa, maka jumlah itu terlalu besar, meskipun luas tanah seluruh Pahang adalah lebih dari tiga juta hektar. Ini kerana tanah-tanah yang mempunyai hak milik tidak semuanya berasaskan permohonan tanah yang biasa.
Pembeli-pembeli rumah kediaman, bangunan perniagaan, lot industri juga mendapat hak milik secara automatik jika membeli lot tanah yang berkaitan. Maka sudah tentu bilangan hak milik keseluruhan juga mengambil kira perkara ini, kerana urusan pindah milik tanah pasti berlaku antara pemaju dan pembeli.
Berkaitan sasaran kerajaan negeri itu, elok juga kerajaan memberi pertimbangan dan kelonggaran syarat supaya anak-anak Pahang yang mana ibu bapa berasal dari Pahang tetapi anak dilahirkan di luar Pahang dan memegang kod kad pengenalan luar (bukan -06-) di beri kelonggaran khas.
Disamping itu, kerajaan negeri sewajarnya memperuntukkan Rancangan Pembesaran Kampung (RPK) di bawah Skim Tanah Rakyat (STR) agar mereka ini boleh balik ke Pahang semula, melalui Program Rumah Keduaku.
Sungguhpun Pahang mempunyai keluasan tanah melebihi tiga juta hektar, namun tidak semua tanah berkenaan sesuai untuk diguna atau diberi milik kerana difahamkan melebihi satu juta hektar adalah hutan simpan kekal (HSK). Ini tidak termasuk rizab sungai yang begitu banyak, rizab perhilitan dan hidupan liar, rizab orang asli, rizab tadahan air dan lain-lain yang berkemungkinan ia bertindih antara satu rizab dengan rizab lain.
Diharap Kerajaan Negeri Pahang dapat mewujudkan Program Rumah Keduaku sekiranya masih ada tanah yang sesuai untuk rancangan RPK-STR.-UTUSAN
CICIT AKI BAJI
Mentakab, Pahang