Wajibkan 30km/j had laju di jalan sekolah

Wajibkan 30km/j had laju di jalan sekolah

MARI ubah jalan sekolah di negara ini menjadi ruang yang lebih selamat untuk anak-anak dan masyarakat.– GAMBAR YEE SAN MUN/BIGRS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MENURUT saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), had laju 30 km/j membentuk jalan yang selamat, direka bentuk dengan lorong trafik yang lebih sempit.

Ini untuk menggalakkan pemanduan lebih perlahan, lintasan pejalan kaki yang dinaikkan pada permukaan jalan bagi mendorong pemandu untuk mengurangkan kelajuan di lintasan pejalan kaki.

Ia termasuk pulau perlindungan yang dinaikkan bagi menyediakan lokasi selamat bagi pejalan kaki menunggu kesempatan dalam lalu lintas apabila menyeberang jalan dan meningkatkan keselamatan kanak-kanak yang berjalan ke dan dari sekolah.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bekerjasama dengan Global Designing Cities Initiative (GDCI) dan NGO tempatan
Bike Commute Malaysia (BCMY) di bawah satu inisiatif keselamatan jalan raya global Bloomberg Philanthropies Initiative for Global Road Safety (BIGRS).

Kerjasama ini bermula dengan projek transformasi jalan sekolah yang dipacu oleh komuniti di satu lokasi di Setapak, sebuah sekolah rendah terletak bersebelahan dengan sebuah sekolah menengah.

Sekolah-sekolah berjiran ini berada di pusat bandar yang berkepadatan tinggi dan mempunyai sejumlah besar keluarga pelajar yang tinggal dalam radius 3 kilometer.

Antara Oktober dan Disember 2023, DBKL menjalankan dua reka bentuk percubaan di pintu masuk sisi sekolah rendah
menggunakan kapur, kon, penghalang trafik dan cat untuk mengubah jalan tersebut sementara dan meneroka kegunaan alternatif jalan bagi mengubah tingkah laku ibu bapa yang perlu menghantar anak-anak mereka terus ke hadapan pintu sekolah.

Tanah luas di hadapan kawasan sisi sekolah dicadangkan sebagai kawasan menunggu yang selamat. Reka bentuk geometri semasa secara berkesan menurunkan kelajuan purata kenderaan kepada 15 km/j.

Selain itu, jarak lintasan telah dikurangkan dari 10.5 m kepada 5.2 m dengan lorong yang lebih sempit. Seiring dengan proses reka bentuk ini, BCMY dan GDCI bercadang untuk merancang kemudahan berteduh dan kemudahan lain yang akan mewujudkan ruang bukan saja untuk kegunaan untuk menghantar dan mengambil anak di sekolah, tetapi juga untuk keseronokan dan perkembangan pelajar.

Menurut tinjauan yang dijalankan oleh BCMY dan GDCI di kedua-dua sekolah ini, lebih daripada 70 peratus kanak-kanak berjalan kaki dari rumah dalam radius 3 km dari sekolah.

Pecahan mod mobiliti menunjukkan bahawa 35 peratus dan 26 peratus kanak-kanak sekolah menengah dan sekolah rendah, masing-masing, berjalan kaki ke sekolah, diikuti oleh penggunaan kereta dan motosikal.

Bolehkah kita menjadikan perjalanan berjalan kaki mereka lebih selamat? Bukankah seharusnya kehadiran kereta dan motosikal di sekitar zon sekolah dikawal dengan lebih baik untuk mengelakkan huruhara?

Mari jadikan ini sebagai norma, bukan satu pengecualian. Sudah tiba masanya untuk bersatu dengan semua pihak berkepentingan, agensi, kementerian, dan masyarakat untuk mewajibkan had laju 30 km/j di sekitar sekolah, mewujudkan jalan di mana orang ramai boleh berjalan, berbasikal dan bergerak dengan selamat.

Bersama-sama, mari kita mengubah jalan sekolah kita menjadi ruang yang lebih selamat untuk anak-anak dan masyarakat kita, dengan laluan pejalan kaki yang berkualiti, lorong basikal, lintasan yang selamat dan kerap, membolehkan lebih ramai
kanak-kanak berjalan dan berbasikal dengan selamat. – UTUSAN

YEE SAN MUN
Pegawai Komunikasi (Kuala Lumpur)
Bloomberg Philanthropies Initiative for Global
Road Safety (BIGRS)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya