SAUDARA PENGARANG,
KONGRES Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia ( Kongres) menggesa pihak Kementerian Pendidikan mengambil tindakan proaktif bagi menangani isu guru duka lara sebagaimana yang dilaporkan dalam media tempatan.
Pihak Kongres mengambil maklum bahawa kesan guru duka lara ini membawa kepada isu-isu perceraian dan menjejaskan keharmonian rumah tangga suami isteri meskipun angkanya kecil.
Langkah proaktif pihak Kementerian Pendidikan dalam menyelesaikan isu ini dapat mengelakkan perceraian dan pengabaian terhadap rumah tangga yang menjejaskan emosi pasangan guru dan anak- anak.
Pihak Kongres maklum bahawa punca perceraian ini melibatkan banyak faktor namun isu pasangan guru berjauhan adalah salah satu faktor yang perlu diberikan perhatian.
Atas dasar meraikan konsep pendidikan berteraskan manusiawi maka pihak Kongres mencadangkan perkara berikut:
a) Memudahkan pengisian sistem eGTukar sepanjang tahun dan proses pertukaran berlaku empat kali setahun.
b) Membuat pangkalan data guru duka lara dan melihat kepada keperluan opsyen dan kekosongan sedia ada untuk memudahkan proses pertukaran.
c) Khidmat kaunseling berterusan kepada guru duka lara bagi meningkatkan daya tahan emosi dan psikologi sebagai guru.
d) Keprihatinan dan kebijaksanaan pihak pentadbir sekolah dalam memahami isu guru duka lara dan menanganinya dengan penuh hikmah.-UTUSAN
MOHD. AZIZEE HASAN
SUA Kongres Presiden Kesatuan Kebangsaan
Guru-Guru Agama Malaysia Barat
(KKGAMB)