Tangani emosi, trauma mangsa banjir

Tangani emosi, trauma mangsa banjir

KESAN psikologi boleh mempengaruhi emosi mangsa banjir sama ada jangka masa pendek atau jangka panjang. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BANJIR biasanya akan mengakibatkan kemusnahan harta benda, kerosakan fasiliti, kematian haiwan ternakan, memusnahkan hasil pertanian, kecederaan dan kematian.

Impak paling besar adalah kehilangan nyawa dalam kalangan ahli keluarga. Kemusnahan dan kehilangan ini akan
memberi beban dari segi psikologi kepada mangsa yang terlibat terutamanya dari aspek emosi secara langsung kepada mangsa dan ahli keluarga yang terlibat.

Kesan psikologi boleh mempengaruhi emosi mangsa kepada trauma sama ada dalam jangka masa pendek atau jangka masa panjang.

Pengurusan pasca banjir wajar diberi perhatian iaitu menitikberatkan aspek keselamatan psikologi secara strategik, taktikal dan operasional yang harus menjadi teras kepada bantuan dan juga pengurusan kepada mangsa banjir.

Emosi seperti tertekan, tersepit, kecewa, marah, takut dan sedih merupakan perasaan dalaman yang boleh mempengaruhi psikologi seseorang secara keseluruhan.

Apatah lagi mangsa yang terlibat terdiri daripada pelbagai peringkat umur daripada bayi sehinggalah golongan warga emas. Emosi tidak stabil boleh memberi gangguan terhadap mental mangsa.

Mereka mungkin akan mengalami trauma, kebimbangan dan kerisauan yang serius, kemurungan dan mungkin juga boleh membawa kepada tahap yang tidak dapat dikawal seperti membunuh diri.

Apabila keadaan ini tidak dikawal dan diuruskan dengan baik, ianya akan mengesani kualiti hidup mangsa banjir secara
keseluruhan.

Sangatlah wajar pihak kerajaan memberi tumpuan khusus terhadap pengurusan pasca banjir iaitu impak psikologi terhadap mangsa banjir.

Pengurusan yang komprehensif wajar dirancang, diperhalusi dan boleh dilakukan simulasi dengan mengambil kira adanya
sistem yang memantau data penduduk berisiko dan berkeperluan.

Penglibatan ketua kampung, penghulu dan wakil penduduk sangat penting dalam membekalkan data jumlah penduduk
yang terkesan di kawasan mereka yang merangkumi golongan kanak-kanak dan bayi, golongan warga emas dan golongan dewasa bagi memudahkan bantuan sampai kepada golongan sasaran.

Data ini sangat penting dan membantu bukan sahaja semasa operasi menyelamatkan mangsa ketika banjir, tetapi juga mampu membantu pihak berkuasa dalam menyediakan bantuan kaunseling kepada golongan yang bersasar.

Pengurusan kolej, universiti, kaunselor, agensi kerajaan seperti Bahagian Pendidikan Kesihatan (Kementerian Kesihatan Malaysia), agensi swasta dan agensi berkaitan bersamasama membantu merancang dan merangka program-program bersifat pencegahan dan kesedaran, pendidikan kesihatan dan intervensi bagi memperkukuh strategi daya tindak dan daya tahan dalam usaha meningkatkan kesihatan mental dalam kalangan mangsa banjir.

Agensi-agensi kerajaan, swasta, kaunselor yang mempunyai kepakaran dalam aspek ini dilibatkan dalam pengurusan pasca banjir supaya mangsa-mangsa banjir ini dapat pulih dengan cepat.

Mereka bukan sahaja perlu dibantu dari segi kewangan/pampasan dan aspek pembersihan rumah, bahkan aspek emosi dan psikologi mereka juga perlu diberi sokongan supaya mereka cepat pulih dan dapat menjalani kehidupan normal seperti biasa.

Diharapkan saranan ini dapat memberi kesedaran dan mendapat tindak balas yang positif dari pihak yang berkaitan supaya kita bersama-sama dapat membantu mangsa banjir bagi meningkatkan kualiti hidup dari aspek fizikal dan psikologi mereka pada masa akan datang. – UTUSAN

PROF. MADYA DR. HARYATI SHAFII
Pensyarah Pengurusan Persekitaran, Penyelidik
Utama, Pembinaan Infrastruktur Mampan dan Pengurusan Alam Sekitar (CSIEM), Fakulti Pengurusan
Teknologi dan Perniagaan Universiti Tun Hussein
Onn Malaysia (UTHM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya