SAUDARA PENGARANG,
TAHAP kebersihan merupakan salah satu aspek kesedaran sivik yang dilihat masih rendah dalam kalangan rakyat Malaysia. Tahun lalu, Malaysia menduduki tempat ketiga senarai 10 negara teratas yang menjadi penyumbang utama pencemaran plastik di lautan.
Kebanyakan sisa plastik tersebut berasal dari sampah di taman, pantai dan longkang jalan. Sisa plastik ini akan dibawa oleh angin serta air hujan melalui longkang dan sungai, seterusnya menuju terus ke lautan.
Anggapan ‘tidak mengapa’ untuk membuang sampah yang bersaiz kecil di merata-rata tempat adalah satu mentaliti yang harus diubah.
Tanpa kita sedar, sampah kecil ini mampu membentuk lautan sampah yang lebih besar. Ramai individu yang mampu menjaga kebersihan di rumah sendiri, namun tidak ramai yang mampu menjaga kebersihan alam sekitar.
Sampah yang terbiar dan tidak diurus mampu mencacatkan pemandangan, menimbulkan bau yang kurang menyenangkan serta mengundang serangga perosak seperti lipas dan tikus.
Dari sudut pandang Islam, kebersihan itu sebahagian daripada iman. Konsep kebersihan merangkumi pelbagai aspek meliputi penjagaan diri, tempat tinggal dan juga alam sekitar.
Tuntutan Islam bukan sahaja menitikberatkan aspek kebersihan sebelum melaksanakan ibadah solat, bahkan juga menganjurkan kebersihan dipelihara sepanjang masa dalam kehidupan.
Pentingnya kesedaran sivik dalam kehidupan adalah untuk membentuk setiap individu menjadi warganegara yang bertanggungjawab, berakhlak mulia dan berkeperibadian tinggi dalam pelbagai konteks.
Langkah untuk mengubah orang lain, haruslah bermula dengan diri kita sendiri dahulu. Berhenti menuding jari dan mulakan langkah pertama untuk berubah.
Jangan jadikan tahun baharu sekadar satu sambutan tahunan yang tidak bermakna. Jadikan ia sebagai titik tolak untuk kita menjadi warganegara Malaysia yang lebih baik dengan memiliki kesedaran sivik.-UTUSAN
FARHANA ABD. HAMID
Jabatan Bahasa Antarabangsa Pusat Pengajian Bahasa
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)