Sistem ranking angkat sepak takraw ke peringkat global

Sistem ranking angkat sepak takraw ke peringkat global

DENGAN adanya sistem ranking, sepak takraw bukan sahaja memasuki era profesionalisme yang lebih mendalam, tetapi juga melangkah lebih dekat ke pintu gerbang Sukan Olimpik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEPAK takraw adalah sukan tradisional yang menggabungkan kecekapan fizikal dan ketangkasan, kini menghadapi era baharu dengan pengenalan sistem ranking dunia. Keputusan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) memberi penghormatan kepada Malaysia sebagai negara pertama menganjurkan kejohanan dunia ISTAF dan mengimplementasikan sistem ranking yang menandakan langkah penting bagi memajukan dan memperkukuhkan imej sukan ini di peringkat antarabangsa.

Ia pasti memanfaatkan kepelbagaian kemahiran pasukan sepak takraw dan memperkenalkan struktur kompetitif yang lebih teratur serta memberikan peluang untuk mengukur prestasi negara secara lebih sistematik. Sistem ini dijangka mendorong persaingan yang sihat, meningkatkan kualiti perlawanan dan mengekalkan daya tarikan kepada penonton.

Langkah ISTAF ini juga dapat dilihat sebagai usaha untuk mendapatkan pengiktirafan daripada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC). Dengan adanya sistem ranking, sepak takraw bukan sahaja memasuki era profesionalisme yang lebih mendalam, tetapi juga melangkah lebih dekat ke pintu gerbang Sukan Olimpik. Sukan sepak takraw mempunyai potensi untuk menjadi satu lagi daya tarikan di Sukan Olimpik, menyumbang kepada kepelbagaian acara sukan.

Pengenalan sistem ranking ini juga membuka peluang untuk pengembangan sukan ini di peringkat dalam negara yang aktif. Negara yang berprestasi tinggi seperti Malaysia dapat diilhamkan untuk menyediakan lebih banyak program pembangunan bakat dan penyokong untuk meningkatkan lagi tahap kecemerlangan mereka. Ini akan mencetuskan gelombang minat dalam kalangan generasi muda untuk menyertai sukan sepak takraw.

Walau bagaimanapun, dengan kemajuan ini, adalah penting bagi ISTAF dan pihak berkepentingan untuk terus mengkaji dan memperbarui sistem ranking ini. Sambutan dan maklum balas daripada penggiat sukan, pengurus pasukan dan peminat sukan sepak takraw perlu diambil kira untuk memastikan keadilan dan keberkesanan sistem ini.

Sistem ranking ini seharusnya memberikan dorongan kepada pasukan dan pemain untuk terus berusaha meningkatkan prestasi mereka. Dengan objektif mencapai peringkat tertinggi, pasukan akan lebih fokus dalam persediaan, latihan dan prestasi dalam setiap kejohanan. Ini bukan sahaja memberi keunggulan kepada pasukan tetapi juga menjadikan setiap perlawanan lebih menarik dan menyengat.-UTUSAN

JAIS ABDUL KARIM
Pencinta sukan sepak takraw Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya