SAUDARA PENGARANG,
SUKAN sepak takraw telah melalui pelbagai proses inovasi di bawah kepemimpinan Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf), Datuk Abdul Halim Kader.
Dengan tekad dan visi kukuh, Abdul Halim memperkenalkan langkah-langkah inovatif yang berpotensi mengubah landskap sukan sepak takraw dan meningkatkan daya tarikannya.
Satu inovasi utama yang menarik perhatian adalah pengenalan sistem mata baharu daripada 21 ke 15 mata.
Keputusan ini bukan langkah kecil, tetapi langkah besar yang membawa impak dalam dunia sepak takraw.
Pengurangan mata ini bukan sahaja mencipta permainan lebih singkat, tetapi juga memberikan kelebihan signifikan kepada pasukan pesaing dan pengadil.
Permainan menjadi lebih sengit, menarik minat penonton dan memperlihatkan kecekapan atlet sepak takraw.
Langkah ini yang bakal dilaksanakan mulai Februari ini akan membawa pelbagai faedah kepada dunia sepak takraw.
Pertama, memendekkan masa penyiaran pertandingan yang membolehkan penonton lebih mudah memahami dan terlibat dalam setiap detik perlawanan.
Ini memberikan daya tarikan khusus kepada penonton baharu dan meningkatkan populariti sepak takraw di peringkat global.
Kedua, pengurangan mata membawa keuntungan taktikal kepada pasukan. Dengan permainan lebih padat, setiap mata menjadi lebih berharga.
Pemain perlu lebih strategik dan cepat bertindak, memberikan pertandingan yang lebih kompetitif dan menarik.
Selain itu,dengan permainan yang lebih singkat, kelemahan atau kesilapan pengadil dapat dikurangkan dan memastikan tahap konsentrasinya dan ketepatan dalam membuat keputusan. Keputusan untuk mengadaptasi sistem mata baharu menunjukkan kebijaksanaan dan kecenderungan pemimpin yang berorientasikan masa depan.
Dengan langkah-langkah inovatif ini, saya yakin masa depan sepak takraw adalah cerah.
Kita sebagai peminat dan penyokong sepak takraw semestinya memberi sokongan sepenuhnya kepada inisiatif-inisiatif inovatif diilhamkan oleh Abdul Halim. – UTUSAN
JAIS ABDUL KARIM, Pencinta sepak takraw