SAUDARA PENGARANG,
DISEBALIK kekalahan skuad Kim Pan Gon dalam dua perlawanan terdahulu pada saingan Piala Asia di Qatar, timbul dakwaan mengatakan terdapat tangan-tangan ghaib yang mencaturkan pemilihan pemain. Pada hemat kami tidak sewajarnya pihak-pihak berkepentingan dalam arena sukan mengganggu urusan Ketua Jurulatih Skuad Kebangsaan Harimau Malaya dan barisan kejurulatihan Pan Gon.
Jika sekiranya dakwaan ini terbukti benar, maka sia-sialah pembangunan sukan bola sepak negara yang sedang dilaksanakan. Segala ketetapan atau keputusan yang direncanakan oleh barisan kejurulatihan usah diganggu atau wujud campur tangan ghaib daripada individu luar hatta sekalipun dalam kalangan orang kenamaan kerana ia boleh merencatkan percaturan taktikal ketua jurulatih malah merugikan pasukan dan negara dalam misi memburu kemenangan.
Mengakhiri saingan di peringkat kumpulan E Kejohanan Piala Asia tempoh hari, peminat serta penyokong seakan tidak percaya dengan apa yang telah ditunjukkan malam itu.
Pemain telah menyajikan persembahan yang memukau sehingga hampir-hampir sahaja pasukan bola sepak gergasi Asia, Republik Korea dimalukan. Ini membuktikan Harimau Malaya mampu mengatasi pasukan yang berada di rangking 23 dunia Majlis Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berbanding pasukanMalaysia yang masih berada di tangga 130.
Banyak pihak serta pemerhati sukan bola sepak tanah air sudah boleh menarik nafas lega dengan taktikal atau magis Pan Gon dan mungkin peluang Harimau Malaya untuk beraksi di Kejohanan Piala Dunia kian jelas terpampang di mata.
Kesempatan ini, diucapakan setinggi tahniah kepada skuad Pan Gon, barisan pemain serta kejurulatihan dan tidak lupa pengurusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), yang juga banyak membantu dalam meningkatkan pencapaian sukan bola sepak negara.
Sepatutnya jangan menunggu menang baru hendak dipuji dan tetaplah bersama memberikan sokongan padu biarpun ada ketikanya pasukan kita kalah.-UTUSAN
MUZAKKIR HARON
Pulau Pinang