SAUDARA PENGARANG,
MEMASUKI tahun baharu 2024, Malaysia perlu bergerak secara progresif dan mapan khususnya dalam memacu pertumbuhan ekonomi serta kelestarian sosial.
Namun, jika polemik 3R (agama, kaum dan institusi raja) berterusan, Malaysia pasti berdepan dengan pergaduhan dalaman yang hanya merugikan dan membantut pembangunan negara.
Dalam usaha ini, kita perlu semak dan hayati kembali Rukun Negara yang selama ini menjadi teras pembentukan Negara Malaysia yang berdaulat.
Kini, setelah 53 tahun Rukun Negara diperkenalkan, akibat kecelaruan politik yang barlarutan, Malaysia sedang bergelut dengan krisis perpaduan bangsa era baharu yang antara lain, berpunca dari polemik 3R.
Jika kita hayati lima Prinsip Rukun Negara, ia jelas memperlihatkan satu ramuan ampuh untuk kita membenam polemik 3R ini.
Prinsip Kepercayaan kepada Tuhan mendorong rakyat Malaysia untuk mengambil iktibar dari tradisi keagamaan yang pelbagai untuk mencari titik persamaan dan membina masyarakat yang menghormati dan meraikan pluralisme agama.
Perkara 3 dan 11 Perlembagaan Persekutuan telah dengan jelas menyatakan berkenaan Agama Islam sebagai agama rasmi serta tidak mena kan kebebasan agama lain untuk dianuti rakyat negara ini.
Ketegasan ini sepatutnya menjadi penamat kepada sebarang usaha mempersenda mana-mana agama oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Kesetiaan kepada raja dan negara menjadi batu asas perpaduan nasional. Perkembangan politik negara lima tahun ke belakang ini membuktikan kepentingan institusi diraja dalam mententeramkan gejolak politik yang melanda.
Prinsip keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang pula menekankan kepentingan menjunjung Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara.
Prinsip ini menyeru warganegara untuk turut serta secara aktif dalam proses demokratik demi menjaga nilai-nilai keadilan yang termaktub dalam Perlembagaan.
Pemerintahan berdasarkan undangundang akan menggalakkan keadilan, kesaksamaan dan mencipta persekitaran yang kondusif untuk pertumbuhan ekonomi dan keyakinan pelabur asing.
Manakala prinsip kelima iaitu kesopanan dan kesusilaan sememangnya amat penting untuk disuburkan kembali.
Dalam dunia capaian maklumat tanpa sempadan dan kepesatan kecerdasan buatan (AI), penyampaian maklumat secara bertanggungjawab dan sopan perlu diterapkan ke seluruh peringkat usia warga Malaysia.
Perbezaan pendapat dan pandangan perlu dileraikan secara sopan dan susila.
Kandungan internet khususnya media sosial yang mempamerkan perdebatan politik melalui provokasi dan keceluparan melampau perlu dihentikan kerana ia akan merosakkan generasi, peradaban bangsa serta imej negara.
Permainan sentimen agama, kaum dan institusi raja secara berlebihan dan tidak bertanggungjawab mesti dinoktahkan.
Hadam dan hatilah Rukun Negara sebagai panduan untuk kita mencanai kemakmuran Malaysia yang tercinta. – UTUSAN
SHAFRY SALIM
Timbalan Pengarah Pusat Kepimpinan dan Kompetensi,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)