SAUDARA PENGARANG,
SAYA ingin berkongsi pemerhatian berkenaan keadaan persekitaran jalan masuk ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak, Selangor. Sebagai penduduk asal yang tinggal hampir 50 tahun di sini, saya merasakan wajar untuk menyuarakan keprihatinan mengenai keadaan kawasan tersebut.
Sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi, UIAM memainkan peranan penting sebagai pemangkin pembangunan setempat. Selain daripada menjadi pusat kecemerlangan akademik dan intelektual, universiti ini juga memainkan peranan utama dalam memperkukuhkan ekosistem pendidikan dan di kawasan sekitarnya.
Kawasan sekitar UIAM juga dikelilingi oleh pelbagai pusat akademik dan juga kawasan tradisional yang terkenal, Kampung Sungai Chinchin. Namun, berdasarkan pemerhatian saya mendapati bahawa keadaan persekitaran jalan masuk ke UIAM tidak mencerminkan tahap kebersihan dan kekemasan yang sepatutnya ada pada sebuah universiti antarabangsa.
Baru-baru ini saya telah berkesempatan untuk mengunjungi dua universiti awam lain di Shah Alam dan Johor Bahru dengan tujuan mendaftar anak. Pemerhatian saya di kedua-dua universiti tersebut menunjukkan kebersihan dan kekemasan persekitaran jalan masuk yang jauh berbeza dengan keadaan di sekitar UIAM.
Terdapat perbezaan ketara dalam penyelenggaraan, pemotongan rumput, keadaan lampu jalan raya, jalan berlubang, dan masalah lain yang memerlukan penyelesaian segera di kawasan UIAM. Lanskap di jalan-jalan masuk UIAM juga memerlukan penambahbaikan.
Antara beberapa isu yang perlu mendapat perhatian segera, antaranya longgokan sampah di bahu jalan dan kawasan pembuangan sampah haram; penyelenggaraan dan pemotongan rumput; lampu jalan; jalan berlubang dan tidak berturap sempurna; banjir kilat; kedai serta kilang haram di sepanjang bahu jalan di Jalan Gombak, Jalan Sungai Pusu dan Jalan Sungai Chinchin.
Majlis Perbandaran Selayang, Jabatan Kerja Raya Daerah dan kontraktor jalan perlu bekerjasama untuk menangani isu-isu ini dengan serius. Saya juga berharap agar Ahli Parlimen Gombak, yang juga merupakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham dapat mengambil perhatian terhadap aduan ini.-UTUSAN
WARGA GOMBAK
Gombak, Selangor