SAUDARA PENGARANG,
MERUJUK artikel bertajuk Perlu ada sistem sokongan kukuh bantu penagih syabu yang diterbitkan dalam Forum Utusan Malaysia pada 23 Januari lalu, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sejak 15 tahun lalu, telah mengesan perubahan trend penagihan dadah daripada dadah tradisional kepada dadah sintetik yang memberi kesan kepada bukan sahaja fizikal penagih, malah kepada struktur sistem saraf otak.
Sehubungan itu, AADK melakukan revolusi terhadap program rawatan dan perubatan sesuai dengan trend penagihan dadah masa kini menerusi pendekatan dan strategi Modul Psikososialspritual menerusi Model i-Pulih AADK yang merangkumi lima kerangka utama iaitu spritual, sistem, sosial, psikologi dan biologi berdasarkan keperluan kepulihan klien.
Pendekatan kepulihan dibuat melalui penilaian menggunakan instrumen Alcohol, Smoking and Substance Inlovement Screening Test (ASSIST) bagi mengukur tahap kebergantungan risiko penagihan dadah sebelum pelan perancangan pemulihan klien dilaksanakan.
Pun begitu, bagi klien yang dikesan mempunyai masalah mental, AADK turut menawarkan program rawatan dan pemulihan dual diagnosis di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) dalam memberikan perkhidmatan rawatan psikiatrik.
AADK sentiasa komited melakukan revolusi penyampaian perkhidmatan supaya lebih memenuhi keperluan dan kepulihan kumpulan sasar dengan menyediakan program serta prasara lebih terbuka, bersedia dan selesa.
AADK percaya klien ini masih boleh dipulihkan jika dikesan lebih awal dan mendapat sokongan semua pihak terutamanya ahli keluarga dan masyarakat.-UTUSAN
AGENSI ANTIDADAH KEBANGSAAN (AADK)