SAUDARA PENGARANG,
AMALAN menabung semakin hari semakin dipandang sepi oleh kita pada hari ini dan ramai lebih selesa menghabiskan wang dengan pelbagai aktiviti kehidupan masing-masing.
Malahan, ramai yang tidak menggunakan wang yang diperoleh dengan sebaiknya. Banyak faedah yang kita dapat sebenarnya daripada menabung antaranya mengelakkan boros dan membazir, digunakan pada waktu kecemasan dan juga membeli barangan yang diingini.
Namun, pada arus kemodenan ini, sebahagian anak muda suka bersikap boros pada musim gaji masuk dek kerana terlalu mengikut arus kemodenan seperti membeli makanan viral yang dibuat oleh artis-artis, membeli pakaian mengikut fesyen terkini dan inginkan hiburan yang sebenarnya tidak begitu penting oleh kita.
Duit yang kita menabung dapat digunakan pada waktu kecemasan. Kita tidak perlu bergantung pada orang lain jika berprinsip sediakan payung sebelum hujan. Contohnya, ketika terdapat ahli keluarga menghadapi masalah kewangan atau terdapat masalah kecemasan seperti kemalangan.
Rajin-rajinkanlah menabung untuk masa depan kita dan ahli keluarga, bukannya untuk orang lain.
Sebagai contoh, kita menabung untuk membeli rumah pada usia muda, kereta yang mewah dan yang paling penting ialah membeli hadiah untuk kedua ibu bapa kita.
Amalan menabung sebenarnya menjadikan diri kita lebih dewasa. Golongan yang mesti dididik ialah kanak-kanak kerana mereka senang dibentuk dari kecil supaya tidak menyesal di kemudian hari.
Kewangan sesebuah negara juga dapat dikaitkan dengan sikap rakyatnya yang suka berboros. Maka, kita perlu menabung wang supaya dapat merangsang peningkatan ekonomi negara dengan lebih stabil.
Saya berharap agar semua masyarakat tidak jemu untuk menabung demi kebaikan diri dan masyarakat. Amalan menabung hendaklah dimulakan sejak kecil lagi kerana ia mendatangkan impak positif kepada masa depan kita.-UTUSAN
NURUL ALIA NATASYA IBRAHIM
Universiti Sains Islam Malaysia