SAUDARA PENGARANG,
DALAM zaman berteknologi canggih kini, kebanyakan ahli keluarga lebih selesa melayari internet dan asyik dengan gajet masing-masing walaupun semasa dalam percutian atau berada bersama keluarga serta saudara mara.
Pada hari ini, sudah menjadi pemandangan biasa setiap individu masing-masing membawa hal sendiri dengan telefon bimbit di tangan walaupun duduk bersebelahan atau berkumpul bersama.
Lebih parah, anak-anak kecil juga sudah diberikan ‘candu’ ini ketika usia mentah mereka masih belum boleh membezakan antara baik atau buruk sesuatu perkara.
Maka tertumpulah perhatian anak-anak kecil ini dalam tempoh masa yang lama kepada dunia buatan tanpa menghiraukan dunia sebenar di sekeliling mereka.
Ramai ibu bapa juga tidak mengambil tahu atau mengawal kandungan yang dilayari oleh anak-anak mereka, memungkinkan perkara buruk meracuni minda muda mereka.
Turut dikesali, ibu bapa juga sering menunjukkan contoh yang kurang baik dengan sibuk melayani ‘candu’ mereka sendiri di hadapan anak-anak menyebabkan komunikasi langsung bersama anak-anak menjadi terhad.
Natijahnya, anak-anak tidak dapat bermesra, berkongsi pendapat, mewarisi pemikiran dan adab daripada ibu bapa.
Seringkali juga dilihat dalam perhimpunan keluarga atau majlis keramaian, generasi muda lebih gembira bermain games atau melayari internet daripada duduk bersembang bersama generasi tua atau orang di sekeliling mereka.
Kesemua fenomena ini adalah perkara yang tidak wajar dibudayakan dan patut dibimbangi kerana jika dibiarkan boleh merosakkan corak pemikiran serta hubungan antara manusia dalam jangka masa yang panjang.
Tanpa komunikasi secara langsung yang kerap, bagaimana kita mampu mengenali sifat dan hati budi manusia di sekeliling kita, hatta keluarga kita sendiri?
Kurangnya komunikasi secara langsung boleh menyebabkan mudah berlakunya salah faham dan salah sangka yang membawa kepada konflik serta sengketa.
Proses perpindahan kemahiran bahasa, adab, budaya, pengalaman hidup, ilmu pengetahuan dan kebijaksanaan diturunkan daripada generasi tua kepada generasi muda melalui perbualan dan komunikasi secara langsung antara mereka.
Komunikasi yang berkesan juga dapat meningkatkan keyakinan seseorang dalam menyuarakan pendapat dan berhujah serta dapat meningkatkan kemampuan berfikir secara kritikal melalui pengetahuan dan pengalaman yang dikutip sepanjang proses komunikasi tersebut.
Malangnya kini, ruang untuk komunikasi secara langsung telah pudar diambil alih oleh komunikasi berperantara media sosial secara berlebihan.
Kita semua perlu mampu mengawal diri agar tidak dihanyutkan oleh teknologi yang boleh membawa kesan buruk dalam hubungan asas manusia.
Teknologi hebat yang berupaya mendekatkan orang yang jauh usahlah dibiarkan menjauhkan pula orang yang dekat. Hadkan masa dan tempat untuk penggunaan media sosial yang wajar.
Peruntukan masa untuk berbual secara langsung atau melakukan aktiviti fizikal seperti bersukan dan berekreasi bersama keluarga dan orang di sekeliling kita.
Semoga peluang berkumpul bersama keluarga dapat dimanfaatkan untuk lebih mengenali serta mengeratkan hubungan silaturrahim melalui komunikasi secara langsung yang kerap dan berkesan. – UTUSAN
DR. JAMILA MOHD.
Pensyarah Kanan di Fakulti Bahasa dan Linguistik serta Ketua Pusat Penyelidikan Malaysia Jepun, Universiti Malaya