SAUDARA PENGARANG,
UMUMNYA, seseorang yang bersara akan menerima wang saguhati dengan jumlah yang besar dalam akaun simpanan daripada majikan.
Dengan wang itu, ada yang membuka premis perniagaan. Dan menurut Kumpulan Wang Simpanan Persaraan (KWSP), wang simpanan boleh habis dibelanjakan antara satu hingga tiga tahun sahaja.
Ada pula, yang membuka premis perniagaan tetapi terpengaruh dengan rekaan dalaman yang eksklusif sehingga duit habis sedangkan mereka tiada ilmu dalam perniagaan sama ada untuk promosi atau hebahan.
Sayangnya selepas enam bulan beroperasi perniagaan tidak dapat berdaya saing sehingga menyebabkannya ditutup.
Mulalah berlaku krisis hubungan dingin antara suami isteri dengan anak-anak, dari bahagia bertukar sengsara. Emosi mudah terganggu apatah lagi wang simpanan sudah menyusut dan hampir defisit. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku dalam kalangan pesara.
Justeru, jika benar-benar mahu memulakan perniagaan, tolong dapatkan mentor perniagaan kerana bidang ini sangat mencabar, rumit serta banyak pesaing.
Kalau hendak berniaga makanan, mula dengan teori ‘sebelah kaki mencelah pintu’ iaitu dengan membuka gerai kecil atau lori makanan terlebih dahulu. Jual berapa menu makanan. Paling mudah berniaga pagi macam nasi lemak, mi goreng, lempeng pisang, apam balik atau pisang goreng keju, modal pun tidak besar.
Kalau ramai beli serta menerima hasil positif dalam tempoh enam bulan pertama perlu buat kajian pasaran, kenal pasti pesaing buat promosi secara kreatif dan konsisten pada kos yang rendah. Kemudian kembangkan perniagaan ke fasa yang lebih dinamik lagi.
Dengan wang yang ada, boleh buat beli tanah dan bina rumah kecil atau buat inap desa.
Sekurang-kurangnya tanah dan rumah adalah hak kita. Usah tiru cara orang kerana modus operandi dan pengalaman berbeza.-UTUSAN
YOSRI ABU MAHSIN
Perak