SAUDARA PENGARANG,
HINGGA saat ini, bumi Gaza sudah ibarat padang jarak padang tekukur. Cebisan daging dan darah dapat dilihat di mana-mana. Semua bangunan yang menjadi tempat penduduk mendapat perlindungan dan manfaat seperti kediaman, tempat ibadah, hospital, sekolah dan sebagainya sudah hancur lumat akibat dibedil dan dibom.
Sebagai rakyat Malaysia, kita bukan saya perlu bersyukur tetapi mengambil pengajaran dengan apa yang berlaku di Palestin.
Ini memandangkan sebahagian masyarakat kita masih lagi melakukan pembaziran makanan, merosakkan harta benda awam, mencuri, membazir masa dengan aktiviti tidak berfaedah serta hiburan secara melampau dan sebagainya.
Masalah sosial seperti seks bebas, sumbang mahram, pemerkosaan dan rogol juga sudah tidak terbendung sehingga menatijahkan pelbagai jenayah berat seperti pembuangan bayi dan pengguguran janin. Manakala kes pembunuhan sudah menjadi tatapan biasa di dada akhbar seolah-olah nyawa manusia sudah lagi tidak bernilai. Justeru, apakah lagi yang kita boleh harapkan dari kesenangan dan keamanan yang yang kononnya sedang kita nikmati ini?
Anak-anak perlu dididik agar menghargai segala nikmat yang dimiliki, janganlah dibiasakan dengan kemewahan sehingga mereka tidak berupaya untuk berfikir dan mencari jalan keluar apabila dilanda masalah.
Lebih utama, anak perlu dipersiapkan dengan didikan agama supaya kelak mereka akan tumbuh menjadi manusia yang mencintai agama, hidup bertuhan, berpegang teguh dengannya dan menjunjung tinggi agama.
Ayuh kita terus menyokong dan mendoakan saudara kita di Palestin dan negara yang sedang dihimpit kesempitan dengan seluruh upaya kita. Sekurang-kurangnya doa dan sokongan yang berterusan ini walaupun kecil akan menjadi saksi kita dihadapan Allah dan memberatkan timbangan amal di akhirat kelak.-UTUSAN
DR. NURUL HUSNA MANSOR dan DR. AZMAWATY MOHAMAD NOR
Universiti Malaya