SAUDARA PENGARANG,
SAYA terpanggil untuk berkongsi pengalaman dengan harapan ia dapat menjadi pedoman kepada orang awam dan mesej ini berjaya sampai kepada pentadbiran tertinggi kerajaan khususnya Perdana Menteri supaya kerajaan sentiasa dapat melakukan program terhadap pembangunan masyarakat madani di seluruh negara.
Cerita ini berkisah pengakuan sebenar seorang lelaki yang merupakan gelandangan di ibu negara, yang ditemui empat tahun lalu semasa saya mengendalikan aktiviti amal pemberian makanan kepada gelandangan.
Individu ini dahulunya adalah seorang eksekutif kanan di sebuah syarikat ternama diberhentikan kerja tanpa sebarang pampasan kerana syarikat kekurangan modal dan menghadapi masalah pembayaran gaji ekoran pandemik Covid-19.
Dia lalui masa yang sukar, terjerumus dalam kancah ketagihan syabu apabila terpengaruh dengan individu berpangkat tinggi kolar putih. Keadaan ini tidak hanya memburukkan masalah kesihatan sedia ada, tetapi juga menyumbang kepada masalah kebejatan sosial yang baharu.
Akhirnya kisah pergelutan dan ketagihan itu tiba ke pengetahuan keluarganya, mengubah dinamik kesejahteraan keluarga mereka dan secara tidak langsung memberi kesan kepada kesihatan mental dan fizikal. Dia juga berkongsi kisah sedih apabila ada dalam kalangan mereka jauh terpesong dan ada yang kehilangan nyawa akibat penyalahgunaan syabu yang berlebihan.
Justeru, golongan seperti ini wajar dibantu serta dibimbing untuk kembali ke jalan yang benar kerana ia boleh menyebabkan masalah kesihatan mental seperti kemurungan, insomnia dan pelbagai masalah sosial yang lain manakala isu pengangguran perlu diambil perhatian dan diatasi dengan sebaik mungkin oleh pihak kerajaan.
Sayangnya, ramai penagih syabu masih terperangkap dalam situasi yang berbahaya kerana segelintir sahaja yang mencari bantuan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sistem sokongan yang lain. Ada yang telah berjaya mengatasi ketagihan dan membina semula hidup mereka, manakala yang lain masih dalam proses dengan sokongan berterusan daripada sistem ini.
Dia menekankan keperluan mendesak bagi bantuan kerajaan dan sokongan masyarakat yang lebih banyak, yang memperjuangkan perkhidmatan kesihatan mental, penjagaan kesihatan yang berpatutan dan program penempatan pekerjaan.
Penting untuk membincangkan kepentingan sistem sokongan menyeluruh untuk membantu individu menghadapi cabaran pengangguran kerana kesedaran semasa tentang perkara ini kurang memadai.-UTUSAN
DANNY AZIM
Cybersouth